Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan bergambar bersama EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail (lima dari kanan), Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Youth Community (SAY) Nurul Azwa Mohd Rodzi (tiga dari kiri) dan pemenang Liga Usahawan OKU Selangor edisi keempat di Kuala Lumpur pada 27 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pemenang Liga Usahawan berpeluang pamer, pasar produk di London

Oleh Azian Aziz

KUALA LUMPUR, 28 FEB : Pemenang program Liga Usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) Selangor berpeluang mempamerkan serta memasarkan produk mereka di luar negara.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata pihaknya menerima undangan dari penganjur pesta makanan di London dan Kanada  sekali gus membuka peluang usahawan dari negeri ini menembusi pasaran antarabangsa.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI

“Kita sedang pertimbang untuk hantar usahawan dalam kalangan peserta Selangor Youth Community (SAY) atau Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah).

“Sebelum ini kita pernah ke program ‘Selangor Day’ di London dan kita bawa produk yang boleh diketengahkan ke sana. Ada produk peserta SAY yang kita bawa jadi pilihan di sana,’’ katanya ketika ditemui selepas pengumuman Ikon Usahawan dan Usahawan Harapan OKU Selangor anjuran SAY LEAD di Hotel Sunway Putra semalam.

Mengenai program SAY LEAD yang masuk tahun keempat, Rodziah memberitahu, sebanyak sembilan usahawan OKU terbaik daripada 25 yang menyertai program diberi peluang untuk membentangkan perniagaan di hadapan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan empat juri lain.

“Apa yang berbeza ialah jika dahulu hanya usahawan makanan dan minuman terlibat kali ini ada usahawan kraf dan perkhidmatan.

“Kali ini penganjur tidak ambil usahawan OKU fizikal semata-mata tetapi ada OKU bipolar yang nampak normal tetapi mereka sebenarnya berdepan situasi mencabar dalam menjalani hidup,’’ katanya.

Tambah Rodziah dari segi penjurian, usahawan yang produknya mempunyai impak besar kepada masyarakat antaranya boleh memberi peluang pekerjaan, mempunyai unsur masa depan iaitu boleh dipasarkan ke luar negara atau boleh dikembangkan, mempunyai nilai komersial selain kegigihan usahawan antara yang menjadi pilihan.

Program Liga Usahawan OKU Selangor merupakan inisiatif SAY, sebuah organisasi bukan kerajaan yang diasaskan DYTM Tengku Amir Shah. Menariknya edisi kali ini, usahawan OKU pekak dan bisu turut menyertai liga dengan dibantu jurubahasa isyarat.

Program ini ditaja oleh Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan serta mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.


Pengarang :