Lee Jae-wook kini giat mempromosi Korea Selatan sebagai hab pelancong dunia menerusi kempen ‘Annyeong Kawan’. Kredit foto Instagram.com/jxxvvxxk
PERSONALITIRENCANA

Penangan romantis-fantasi lonjak nama Jae-wook

OLEH INTAN SYUHADA AKHIR

SHAH ALAM, 1 FEB: Drama bersiri Korea Selatan, Alchemist of Souls yang disiarkan di platform Netflix sejak 18 Jun tahun lalu benar-benar melonjakkan nama pelakon utamanya Lee Jae-wook dalam dunia seni antarabangsa.

Pembawakan karakter oleh pemuda berusia 24 tahun itu yang berkesan selain jalan cerita menarik meledakkan karya arahan pengarah terkenal Park Joon-hwa.

Baru sahaja selesai menamatkan siaran musim keduanya pada 8 Januari lalu, Jae-wook mengakui penangan naskhah itu menyebabkan popularitinya mencanak naik dan pengikut di laman sosial lebih ramai.

Pada mulanya beliau hampir menolak tawaran melakonkan watak Jang Wook kerana menyifatkan jalan cerita untuk drama berkenaan terlalu kompleks.

Bukan itu sahaja, beliau juga merasakan skrip yang menggabungkan genre romantis dan fantasi bukanlah sesuatu yang biasa di negara berkenaan. Maka, Jae-wook khuatir jika tidak mampu membawakan naskhah terbitan Studio Dragon itu dengan baik.

“Saya merasakan musim kedua drama ini lebih banyak menunjukkan sisi lain watak Jang Wook berbanding dengan musim pertama. Saya sendiri teruja melihat perubahan karakter ini.

“Cerita bertemakan romantis dan fantasi ini sebenarnya memang baharu untuk saya dan ia bukanlah genre yang biasa di Korea. Apapun, saya gembira mengambil cabaran ini dan melakonkannya.

“Saya dimaklumkan drama Alchemist of Souls sangat popular di Malaysia. Ia membuatkan saya tidak sabar bertemu dengan peminat saya di sini (Malaysia),” katanya kepada Selangorkini, bulan lalu.

Nama Lee Jae-wook mula dikenali dalam dunia seni menerusi drama bersiri Korea Selatan Alchemist of Souls yang disiarkan di Netflix. Kredit foto Instagram.com/jxxvvxxk

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Kuala Lumpur. Pelakon berkenaan dilantik sebagai duta pelancongan bagi negaranya dan ke Malaysia sempena kempen promosi melawat Korea Selatan.

Alchemist of Souls menceritakan tentang seorang lelaki bernama Jang Wook yang nekad membantu seorang wanita bernama Mu-deok yang dikurung ibunya di dalam bilik. Rupa-rupanya wanita tersebut telah dihasut semangat Naksu yang sudah meninggal dunia.

Mengulas lanjut, Jae-wook mengakui, adakalanya sukar untuk beliau menjiwai watak yang dibawanya menyebabkan beliau kerap berbual dan mendengar pengalaman daripada orang sekeliling untuk dijadikan inspirasi.

Sepanjang karier lakonannya, Alchemist of Souls adalah yang paling banyak meninggalkan impak sekali gus meyumbang kepada populariti pelakon Korea Selatan itu khususnya bagi peminat Malaysia.

Memulakan karier lakonan pada 2018 menerusi drama Memories of the Alhambra, kewujudannya di dalam industri lakon layar semakin dirasai selepas pelakon itu membintangi drama WWW dan menjadi bahan bualan warganet setiap minggu bersiaran.

Sejak itu, Jae-wook mencuri tumpuan banyak rumah produksi dan diberi kepercayaan membawakan watak utama.

“Jika diberi peluang, saya ingin membawakan watak dengan genre noir dan sedikit gelap. Saya percaya jalan cerita naskhah seperti ini pasti menarik,” jelasnya.

Cuti di Malaysia

Jae Wook berkata beliau sudah lama ingin menjejakkan kakinya ke Malaysia, namun akibat pandemik Covid-19, hasrat itu terpaksa ditangguhkan.

“Saya juga kecewa kerana perancangan saya untuk datang ke Malaysia lebih awal terpaksa ditangguhkan akibat pandemik.

Akhirnya dapat juga dan saya berbesar hati dapat ke Malaysia buat pertama kali.

“Saya ingin berterima kasih dan tersentuh dengan sambutan hangat yang diberikan peminat di lapangan terbang. Ia akan menjadi kenangan manis yang tidak akan dilupakan,” katanya.

Dilantik sebagai duta pelancongan Korea Selatan, Jae-wook bertanggungjawab melakukan kerja mempromosi negara itu sebagai hab pelancong dunia menerusi kempen ‘Annyeong Kawan’.

Malaysia merupakan negara pertama yang dipilih untuk kempen ini selepas Korea Selatan mengisytiharkan 2022 dan 2023 sebagai tahun melawat negara itu.

Sementara itu, Jae-wook merasakan tidak banyak perbezaan antara Korea Selatan dan Malaysia. Masing-masing mempunyai lokasi yang sangat indah untuk dilawati.

“Saya rasa Malaysia dan Korea ada banyak persamaan terutama dari segi landskap dan keindahan yang ditawarkan di kedua-dua negara. Saya harap mempunyai masa untuk menerokanya.

“Bahkan di Korea juga ada banyak tempat cantik yang saya tak tahu pun wujud. Saya mengetahuinya melalui penggambaran drama dan filem yang saya lakonkan seperti sebuah tempat bernama Mungyeong,” katanya.

 


Pengarang :