EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman (tengah) menyerahkan bayaran premium tanah 2023 kepada Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Selangor, Dr Faridah Amin (dua kanan) menerusi Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Kuala Selangor di Dataran Esplanade Eco Grandeur, Puncak Alam pada 26 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penantian berakhir, penduduk terima tawaran milikan tanah selepas 38 tahun

Oleh SHAMZ JOHAN

KUALA SELANGOR, 27 FEB: Selepas 38 tahun menanti, akhirnya beberapa penduduk Kampung Jaya Setia, Bestari Jaya boleh menarik nafas lega apabila menerima tawaran milikan tanah (Borang 5A) daripada Kerajaan Negeri semalam.

Rubiah Mohd Jais, 68, berkata dia sudah memohon milikan tanah itu tiga kali sebelum ini dan bersyukur baru kini berjaya.

Rubiah Mohd Jais (kiri) bersama suami, Norlah Jhan menunjukkan surat tawaran pemilikan tanah yang diterima mereka daripada Kerajaan Negeri dalam program Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) pada 26 Februari 2022. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

“Sudah tiga menteri besar saya mohon sejak kali pertama pada usia 30-an. Gembira, syukur dan lega sangat.

“Kini kesihatan saya sudah tidak berapa baik, seminggu tiga kali perlu ulang alik ke hospital untuk rawatan dialisis.

“Saya sangat berterima kasih dengan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, bagi saya ini hadiah terbaik buat kami,” katanya yang berhasrat menyumbang pulut kuning ke masjid sebagai tanda kesyukuran.

Penduduk lain, Hawa Yusof, 68, berkata dia merancang membina rumah keluarga dengan tanah yang diperoleh.

Hawa Yusof. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

“Saya mohon sejak 1985 dan kini saya sudah ada 20 cucu daripada lima anak, sekarang saya tak takut untuk bina rumah sebab sudah ada geran,” katanya yang menerima tawaran pemilikan tanah seluas 0.3840 ekar.

Terdahulu, sembilan penerima mendapat borang 5A dalam program Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) yang disampaikan EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman di Dataran Esplanade, Eco Grandeur, Puncak Alam di sini semalam.


Pengarang :