Orang ramai membeli pelbagai barangan keperluan pada harga murah dalam program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) DUN Seri Serdang di Kampung Kuala Sungai Baru, Subang Jaya pada 21 Februari 2023. Foto SHAMZ JOHAN
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penduduk puji program jualan murah anjuran Kerajaan Negeri, mahu ia diteruskan 

Oleh SHAMZ JOHAN

SUBANG JAYA, 21 FEB: Penganjuran program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) khususnya peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang di Kampung Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini mendapat pujian penduduk.

Ketua kampung Muhamad Saad Osman berkata pendekatan Kerajaan Negeri melalui insiatif JER itu sangat membantu isi rumah khususnya golongan B40.

Muhamad Saad Osman. Foto SHAMZ JOHAN

Katanya kumpulan itu masih perlu dibantu dengan pelbagai langkah dan dasar untuk rakyat.

“Kebanyakan keluarga B40 masih perlu dibantu, pendekatan Kerajaan Negeri melalui inisiatif JER ini sangat diperlukan terutama jualan barang keperluan yang murah ini.

“Lebih 30 hingga 40 peratus penduduk telah memohon pelbagai skim bantuan untuk memperoleh manfaat dan kelebihan yang disediakan Kerajaan Negeri,” katanya.

Sementara itu Suzilawati Mohd Khalil, 39, berkata program jualan murah termasuk bentuk bantuan oleh Kerajaan Negeri memberi banyak kelebihan kepada penduduk.

Suzilawati Mohd Khalil. Foto SHAMZ JOHAN

“Ketika banjir dulu, pelbagai bantuan diterima seperti wang tunai, barangan dapur dan kini, program jualan murah beri banyak kelebihan terutama kepada warga emas.

“Sayur-sayuran dan beras di JER ini boleh dapat RM10, sangat berbaloi,” katanya yang terjejas teruk ketika bencana banjir tahun lalu.

Ana Suriati Abu Bakar, 49 pula memuji usaha Kerajaan Negeri membantu rakyat dan berharap lebih banyak program seperti itu diadakan.

Ana Suriati Abu Bakar. Foto SHAMZ JOHAN

“Kami puji termasuk program jualan murah ini. Kita minta teruskan bantu rakyat dan tambah lagi program lain seperti tuisyen percuma,” katanya.

JER menawarkan barangan seperti ayam standard berharga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS atau Facebook PKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :