Antara penduduk Bandar Sungai Buaya yang hadir pada majlis penyerahan surat kelulusan hak milik individu kepada 300 pemilik rumah kawasan itu pada 4 Februari 2023. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Penduduk sebak, terharu kesabaran menunggu 24 tahun berakhir dengan kegembiraan

HULU SELANGOR, 6 FEB: Pemilik rumah Bandar Sungai Buaya dekat sini meluahkan kegembiraan dan kesyukuran selepas penantian 24 tahun akhirnya mereka menerima hak milik individu kediaman masing-masing Sabtu lalu.

Zulkifli Abu Bakar, 62, berkata dia menetap lebih 20 tahun di Bandar Sungai Buaya dan sepanjang tempoh itu berdoa dan bersabar sebelum menerima berita gembira apabila dimaklumkan mereka menerima geran hak milik individu.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad menyerahkan surat kelulusan hak milik individu kepada 300 pemilik rumah Bandar Sungai Buaya pada 4 Februari 2023. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad

“Penyerahan Notis 5A ini dikira penghujungnya. Syukurlah 24 tahun menanti, penantian yang cukup lama, terima kasih banyak.

“Ramai kawan-kawan sudah pergi dulu, jadi kita yang masih ada ini, bersyukurlah,” katanya sebak dan terharu menerima surat kelulusan hak milik tersebut.

Sementara itu pesara kerajaan, Suhaimi Ariffin, 62, berkata surat kelulusan hak milik individu itu menjadi harta paling berharga untuknya.

Menurutnya surat kelulusan hak milik individu itu akan diserahkan kepada anaknya sebagai hadiah.

“Sudah lama saya beli rumah dan bersyukur dapat hak pemilikan sepenuhnya setelah bersara.

“Perjuangan ini atas kerjasama semua penduduk, usaha dan doa semua Allah SWT makbulkan. Saya harap selepas ini, kawasan ini dibangunkan,” katanya.

Kira-kira 300 pemilik rumah menerima surat kelulusan hak milik individu yang disempurnakan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad mewakili Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 4 Februari lalu.


Antara penduduk Bandar Sungai Buaya yang hadir pada majlis penyerahan surat kelulusan hak milik individu kepada 300 pemilik rumah kawasan itu pada 4 Februari 2023. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad

Majlis itu diadakan di pejabat syarikat pemilik tanah, Operasi Murna Jaya Development Berhad (MJDB).

Ia turut dihadiri Pegawai Daerah Hulu Selangor, Mohamad Hanafe Basri serta Jurutera Daerah Hulu Selangor, Ahmad Faris Mohd Ghazali.

Dalam pada itu Mohamad Hanafe berkata Kerajaan Selangor melalui Pejabat Tanah dan Galian negeri serta Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDTHS) komited menyelesaikan isu tanah pembangunan Bandar Sungai Buaya dan memastikan isu geran hak milik individu kepada 3,580 pemilik rumah diselesaikan.


Pengarang :