Jamal Akhim memberi perkhidmatan memotong ayam kepada pembeli ayam di Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Taman Medan di Dataran Desa Sepakat, Petaling Jaya pada 1 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penduduk tawar khidmat potong ayam di jualan murah DUN Taman Medan

Oleh DIANA ABD WAHAB

PETALING JAYA, 1 FEB: Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan menampilkan kelainan apabila menawarkan khidmat pemotongan ayam.

Pembantu penyelaras DUN berkata khidmat dengan bayaran berpatutan seorang penduduk, Jamal Akhim bertujuan memudahkan suri rumah yang tidak mempunyai peralatan pembersihan barangan basah.

“Kita sambut baik usaha ini kerana sebelum ini terdapat keluhan pembeli kerana ayam dijual seekor tanpa sediakan khidmat pemotongan.

“Ada antara mereka peralatan terhad jadi sukar bersihkan ayam yang dibeli, lagipun harga RM2 yang ditawarkan amat berpatutan kerana ayam boleh dipotong ikut kehendak pembeli,” kata Mohamad Zamin Hasan.

Beliau berkata demikian pada program jualan murah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang berlangsung di Dataran Desa Sepakat hari ini.

Mohamad Zamin berkata perkhidmatan itu mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 40 ekor ayam dipotong dalam tempoh 30 minit sebaik jualan bermula.

“Kita akan teruskan perkhidmatan ini pada sesi jualan JER akan datang sekiranya ada permintaan daripada penduduk,” katanya.

Inisiatif jualan murah kendalian PKPS diteruskan sejak 16 Januari hingga Mac ini dengan menawarkan produk seperti ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).

Jualan itu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di 693 lokasi sekitar 56 DUN.


Pengarang :