Nik Nur Jihan Nik Mohd Mukhtar, 39, menggunakan troli untuk membawa barang yang dibelinya di Jelajah Ehsan Rakyat DUN Hulu Kelang di AU3, Keramat pada 2 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pengunjung jualan murah disaran bawa beg sendiri, jayakan kempen bebas plastik

SHAH ALAM, 5 FEB: Pengunjung Jelajah Ehsan Rakyat 2.0 disaran membawa beg sendiri untuk mengisi barangan yang dibeli bagi menyokong kempen bebas beg plastik.

Menurut Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), kerjasama menjayakan kempen Kerajaan Negeri boleh dimulakan di lokasi jualan murah pada 7 Februari ini.

“Mulakan perubahan dengan hanya membawa satu beg. Jom sokong kempen #KempenBebasBegPlastik,” tulisnya di Facebook.

Jelajah Ehsan Rakyat 2.0 yang menawarkan barangan asas murah berbanding harga pasaran diperluaskan ke 1,200 lokasi seluruh Selangor mulai 15 Januari hingga menjelang Mei.

Jualan murah kendalian PKPS menawarkan produk seperti ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

Turut dijual ikan kembung atau selayang dengan harga RM6 per pek, minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Selangor mula mengharamkan penggunaan beg plastik pada setiap Sabtu sejak 2009 sebelum diperluas kepada tujuh hari seminggu mulai 2017.


Pengarang :