Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program jelajah Jualan Ehsan Rakyat di Masjid Al-Falah, Meru, Klang pada 13 Febuari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pengunjung jualan murah saran PKPS sedia khidmat bayaran dalam talian

Oleh AZIAN AZIZ

KLANG, 13 FEB : Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) disaran menyediakan perkhidmatan bayaran dalam talian untuk kemudahan orang ramai yang berbelanja di jualan murah.

Rozilah Awang Hamat, 42, dari Setia Alam berkata kaedah itu bukan sahaja memudahkan pengunjung yang kekurangan wang tunai, malah melancarkan urusan jual beli.

“Saya pertama kali datang ke program Jelajah Ehsan Rakyat dan teruja apabila melihat harga barangan yang begitu murah.

“Tetapi saya tidak membawa wang tunai yang cukup dan terpaksa meminjam kenalan untuk membuat bayaran,’’ katanya yang berbelanja RM150 membeli pelbagai barangan dapur antaranya ikan dan minyak.

Beliau antara ratusan pengunjung Jelajah Ehsan Rakyat Dewan Undangan Negeri Meru di Masjid Al-Falah, Kampung Budiman di sini hari ini.

Pandangan sama turut dikongsi Sakinah Rahman, 38, dari Puncak Alam dan berharap kaedah bayaran berkenaan dapat disediakan dalam masa terdekat.

“Apabila sampai di lokasi jualan, baru kita dimaklumkan hari itu boleh membeli lebih daripada satu barangan seperti minyak, beras, ikan dan daging.

“Bagi yang bawa duit lebih boleh beli tetapi yang tidak terpaksa meminjam kenalan atau pergi ke bank. Lebih mudah jika pembayaran dipelbagaikan seperti QR Pay,’’ kata pekerja stesen minyak itu.

Bagi Mohd Adil Hakimi Mohd Arif, 24, dari Jalan Paip pula mengakui sudah empat kali mengunjungi jualan murah berkenaan bagi mendapatkan barangan keperluan asas.

“Biasanya saya beli beras dan telur sebab harganya lebih murah berbanding di kedai. Menjelang Ramadan ini saya cadangkan tepung, gula dan bahan membuat kuih turut dijual,’’ katanya.

Program JER kendalian PKPS diteruskan bermula 15 Januari hingga Mac melibatkan 11 lokasi setiap hari berbanding sembilan sebelum ini.

Jualan itu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di 693 lokasi sekitar 56 DUN.

Inisiatif Kerajaan Negeri itu menawarkan ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

Turut dijual ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).


Pengarang :