Kontraktor pembersihan pantai morib Rosli Kamsah, 50, menggunakan mesin ‘Walk Beach Comber’ ketika majlis pelancaran jentera pembersihan pantai dan penyerahan tong sampah di Pantai Morib, Kuala Langat pada 31 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Pengunjung pantai sekitar DUN Morib disaran lebih cakna, jaga kebersihan

KUALA LANGAT, 1 FEB: Pengunjung pantai sekitar Dewan Undangan Negeri Morib diingatkan agar menjaga kebersihan kawasan sekitar selepas berkelah.

Wakil rakyatnya Hasnul Baharuddin berkata orang ramai seharusnya lebih bertanggungjawab dan tidak meninggalkan sampah di tempat mereka beriadah.

Ahli Dewan Negeri Morib Hasnul Baharuddin bercakap kepada media selepas majlis pelancaran jentera pembersihan pantai dan penyerahan tong sampah di Pantai Morib, Kuala Langat pada 31 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kita harus sama-sama tingkatkan kesedaran masing-masing mengenai kepentingan menjaga kebersihan. Morib adalah salah satu kawasan tarikan pengunjung ke Selangor kerana pantai-pantainya jadi sama-samalah kita menjaganya.

“Jangan harap hanya kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) saja untuk membersihkan kawasan, tetapi kita juga perlu bersama-sama membantu,” katanya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim (dua,kanan) bersama ADN Morib Hasnul Baharuddin (tiga, kanan) melihat penggunaan mesin ‘Glutton Electric Little Picker’ ketika majlis pelancaran jentera pembersihan pantai dan penyerahan tong sampah bagi kawasan Morib di Pantai Morib pada 31 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Terdahulu beliau menyaksikan pelancaran dua jentera pembersihan pantai moden dan penyerahan tong sampah kepada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) di Pantai Baru Morib semalam.

Dua jentera ‘walk beach comber’ dan ‘glutton electric little picker’ akan digunakan KDEB Waste Management (KDEBWM) untuk membersihkan Pantai Morib dan Pantai Baru Morib di sini.

“Dengan adanya jentera pembersihan pantai baharu di kawasan pesisir pantai ini kerja pembersihan akan menjadi lebih cepat dan sistematik, namun kerjasama daripada masyarakat juga penting untuk sama-sama menjaga kebersihan,” katanya.

Inisiatif itu adalah projek rintis antara KDEBWM dan MPKL ke arah meningkatkan kecekapan dan produktiviti pembersihan pantai di kawasan berkenaan.


Pengarang :