Kakitangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor menyusun barang jualan pada program Jelajah Ehsan Rakyat Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati di Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Kuala Selangor pada 21 Februari 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pengunjung puji layanan petugas, jualan murah di perkarangan masjid selesa

Oleh DIANA ABD WAHAB

KUALA SELANGOR, 21 FEB: Pengunjung berpuas hati dengan kemudahan yang tersedia di lokasi Jelajah Ehsan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati hari ini.

Pesara Mohd Yamin Hj Shamsuri,64, turut memuji layanan petugas pejabat DUN berkenaan yang prihatin dalam memberi keselesaan kepada pengunjung jualan murah di Masjid Jamek Sultan Ibrahim di sini.

“Terima kasih pada penganjur kerana buat program di sini. Tempat selesa dan senang nak parkir kenderaan dan kami tidak perlu beratur di tengah panas kerana kawasan ini berbumbung dan kerusi disediakan,” katanya.

Pandangan sama turut dikongsi Abdul Rahman Abdullah, 60, yang mengakui selesa dengan layanan diberikan penganjur terhadap golongan kurang upaya sepertinya

“Saya hilang tangan dan kaki akibat kemalangan 12 tahun lalu. Saya terharu penganjur terus beri saya kerusi sebaik lihat saya berjalan dengan sebelah kaki tanpa tongkat,” kata pengutip barangan lusuh yang baharu memeluk Islam tiga bulan lalu.

Bagi Tan Fung Yik 62, turut memuji layanan petugas yang ramah menjemputnya masuk ke perkarangan masjid untuk turut sama mendapatkan barangan murah walaupun dirinya bukan Islam.

“Gembira sangat kedatangan saya dialu-alukan. Saya selesa tunggu giliran kerana pihak penganjur sediakan kerusi dan kipas selain jualan diadakan di tempat berbumbung,” kata pesara itu.

Jualan murah kendalian PKPS menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari hingga menjelang Mei depan.


Pengarang :