EXCO Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni ketika diwawancara Media Selangor di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK), Shah Alam pada 28 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN /SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pengurusan masjid digesa sedia khidmat bimbingan tangani kes bunuh diri

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 7 FEB: Pihak pengurusan masjid disaran mewujudkan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di kariah masing-masing bagi menangani kes bunuh diri di negeri ini.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata pihaknya yakin kewujudan perkhidmatan terbabit dapat membantu komuniti atau anak kariah yang menghadapi masalah sebelum keadaan menjadi parah.

Menerusi perkongsian di Facebook, beliau berkata kes bunuh diri di negara ini semakin membimbangkan dengan peningkatan ketara terutama selepas pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

“Menurut dapatan daripada kajian penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari 2019 sehingga 2021, sebanyak 1,708 kes bunuh diri telah direkodkan di Selangor membabitkan 281 lelaki dan 1,427 wanita.

“Walaupun data tidak menunjukkan jumlah kaum dan status agama, namun saya sebagai EXCO agama merasa terpanggil untuk mencermati isu ini dari sudut pandang Islam,” katanya.

Mohd Zawawi berkata kajian terbabit mendapati kejadian bunuh diri disebabkan tiga punca utama iaitu masalah keluarga, tekanan perasaan dan kewangan selain tiada penghayatan agama yang menjadi asas kekuatan jiwa serta spiritual manusia.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis itu berkata bagi umat Islam, tentunya pengukuhan iman dan takwa adalah benteng terbaik untuk membina kekuatan jati serta minda.

“Hukum mengambil nyawa sendiri adalah haram. Tetapi dalam keadaan iman yang lemah dan emosi tidak stabil, keputusan nekad seperti itu perlu bantuan segera.

“Mari kita mengambil inisiatif kecil ini di kariah masing-masing untuk membantu mereka yang terlibat. Adakah masjid di Selangor yang dah ada perkhidmatan kaunseling?” katanya.


Pengarang :