Aktiviti perkhemahan di Bernam Nature Hut (gambar hiasan). Foto BERNAM NATURE HUT
PBTSELANGOR

Pengusaha tapak perkhemahan di Hulu Selangor diarah daftar operasi

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 8 FEB: Pemilik atau pengusaha tapak perkhemahan di Hulu Selangor diarah membuat pendaftaran bagi menjalankan operasi.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) berkata borang pendaftaran boleh diisi secara atas talian melalui imbasan kod QR atau menerusi pautan forms.gle/hrVXFbdEZKTf2i2L7

Untuk keterangan lanjut, pemilik dan pengusaha terlibat boleh menghubungi Jabatan Perancang Bandar MPHS ditalian 03-6064 1331 sambungan 123

Pada 31 Januari lalu Kerajaan Negeri berkata semua pengusaha tapak perkhemahan di Selangor perlu berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan bagi menjamin keselamatan pengunjung mulai 1 Februari.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata keputusan itu dicapai menerusi bengkel penyediaan garis panduan pemutihan tapak perkhemahan bersama pelbagai agensi baru-baru ini.

Beliau menjelaskan syarat umum kelulusan diberi mengikut kesesuaian tapak perkhemahan dan syarat perlesenan yang wajib kepada pengusaha di tanah persendirian.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari berkata garis panduan berhubung ketetapan dan peraturan aktiviti perkhemahan akan dikuat kuasa untuk menjamin keselamatan nyawa.

Ia susulan kejadian tragedi tanah runtuh tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali pada Disember lepas yang mengorbankan 31 nyawa.


Pengarang :