HULU LANGAT, 6 FEB: Program hebahan terus dipergiat bagi memastikan lebih ramai penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang menikmati manfaat perlindungan insurans percuma.
Wakil rakyatnya Hee Loy Sian menjelaskan masih ramai penduduk di kawasan terbabit belum mengetahui Skim Insurans Am Selangor (INSAN) yang ditawar Kerajaan Selangor.
Bagaimanapun, beliau berkata pendaftaran polisi insurans kemalangan diri itu bertambah dari semasa ke semasa sejak dibuka Oktober tahun lalu.
“Kita akan buat lebih banyak lagi program hebahan dan iklan supaya rakyat benar-benar faham skim berkenaan seterusnya membuat pendaftaran.

“Tetapi setakat ini individu mendaftar memang ramai dan menggalakkan. Kalau boleh kita menyasarkan semua yang layak berbuat demikian,” katanya ketika ditemui pada Pesta Budaya dan Warisan Cap Goh Mei Kajang di Jalan Mendaling dekat sini semalam.
Dilaksana agensi Kerajaan Negeri, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, INSAN ditawar kepada enam juta rakyat negeri ini yang berusia 30 hari hingga 80 tahun.
Syarat kelayakan pemohon adalah pemegang kad pengenalan atau My Kid beralamat di Selangor, kad pengenalan kod Selangor atau pengundi di Selangor.
Pendaftaran melalui aplikasi Wavpay yang boleh dimuat turun di AppStore, Google Play atau Huawei App Gallery dan untuk maklumat lanjut, layari programinsan.com.