Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri (dua, kanan) membantu menyerahkan barang yang dibeli penduduk di Jelajah Ehsan Rakyat di Bandar Armada Putra, Pulau Indah, Klang pada 4 Februari 2023. Foto NORRASYIDAH ARSHAD/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pergiat hebahan jualan murah supaya lebih ramai penduduk dapat berjimat

KLANG, 4 JAN: Hebahan Jualan Ehsan Rakyat 2.0 yang berlangsung ketika ini perlu diperluaskan supaya lebih ramai penduduk mengetahui sekali gus dan berjimat.

Pengawal keselamatan, Mohd Nasir Mustafa, 57, mengakui ini kali pertama beliau mengunjungi dan berbelanja di jualan murah berkenaan kerana sebelum ini tidak tahu mengenainya.

“Saya tahu dari kumpulan WhatsApp kawasan perumahan. Tak sangka jualan di sini sangat murah, menjimatkan hampir separuh bulanan keluarga.

“Saya beli minyak, ayam, beras, daging untuk tempoh sebulan. Selalunya kos belanja ini hampir RM300 tapi hari ini hanya RM150. Elok program ini dihebahkan lebih meluas supaya ramai dapat berjimat,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu peniaga kecil Sazawati Sahar, 56, meminta telur ayam ditambah ketika jualan murah barangan asas berkenaan memandangkan bekalan produk terbabit sukar ditemui di pasaran.

“Dekat Klang memang jarang dapat jumpa telur ayam. Dekat sini (Jelajah Ehsan Rakyat) baru jumpa tapi kalau beli ada had supaya semua dapat.

“Jadi kalau boleh nak minta Kerajaan Negeri banyakkan bekalan telur ayam. Telur memang perlu ada setiap masa terutama untuk keluarga berpendapatan rendah,” katanya.

Mereka antara ratusan pengunjung Jelajah Ehsan Rakyat Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang di Bandar Armada Putra, Pulau Indah di sini hari ini.

Program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor yang dibuka dari 10 pagi hingga 1 tengah hari menawarkan ayam standard (RM10 seekor)dan telur ayam gred B (RM10 sepapan).

Turut dijual daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).


Pengarang :