Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI di Bangunan Parlimen pada 24 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Perkenal cukai untuk jam tangan, fesyen mewah mulai tahun ini

SHAH ALAM, 24 FEB: Kerajaan persekutuan bercadang memperkenal Cukai Barangan Mewah mulai tahun ini dengan had nilai tertentu mengikut jenis barang antaranya jam tangan dan fesyen.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan pendekatan lebih progresif diambil sebagai langkah baharu meluaskan asas cukai kepada mereka yang berkemampuan.

“Selaras amalan terbaik antarabangsa, kerajaan juga mengkaji untuk memperkenal Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat mulai 2024 pada kadar yang rendah.

“Kerajaan akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkaitan untuk meneliti perincian cadangan ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, Anwar yang juga menteri kewangan memaklumkan kerajaan belum bercadang melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) di sebalik kesusahan rakyat dan inflasi makanan yang tinggi.

“Dalam keadaan rakyat terbanyak masih susah, inflasi makanan lebih lima peratus, kadar upah yang masih rendah, saat ini bukanlah masa yang sesuai untuk memperkenal dan melaksanakannya,” katanya.


Pengarang :