SHAH ALAM, 1 FEB: Permohonan bantuan khas Anak Istimewa Selangor (AnIS) bawah Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) bakal dibuka antara bulan ini hingga Mac.
Pengurus Besarnya Gan Pei Nei berkata bantuan dengan peruntukan RM1 juta dijangka memanfaatkan 450 hingga 500 individu dan terhad kepada RM5,000 bagi setiap permohonan.
“Inisiatif ini dapat membantu orang ramai khususnya keluarga yang mempunyai ahli keluarga OKU meliputi sokongan pembayaran bulanan pusat terapi dan pembelian peralatan serta barangan,” katanya ketika dihubungi.

Pei Nei memaklumkan pada tahun lepas pihaknya menerima 1,291 permohonan untuk bantuan tersebut namun hanya 331 diluluskan.
Orang ramai yang ingin membuat permohonan melalui lawan sesawang www.anisselangor.com/bantuananis
Bantuan AnIS diberikan secara sekali bayar (one-off) dengan had maksimum sehingga RM5,000 bagi satu keluarga dan terbuka kepada anak istimewa berumur 18 tahun ke bawah.
Skim ini membabitkan empat jenis bantuan iaitu makanan dan keperluan tambahan, pembelian atau pembaikian peralatan mesin, ubat dan pendidikan khas.