Poster pencarian usahawan untuk program SAY ASPIRE edisi keempat yang dijangka bermula pada Mac depan. Foto Facebook Selangor Youth Community – SAY Community
AGENSISELANGOR

Permohonan program pembangunan usahawan edisi keempat dibuka

SHAH ALAM, 2 FEB: Selangor Youth Community (SAY) meneruskan pencarian usahawan untuk program SAY ASPIRE edisi keempat yang dijangka bermula pada Mac depan.

Pengurusnya Abdullah Muaz Mohd Norman berkata sebanyak 30 usahawan Industri Mikro, Kecil dan Sederhana (IMKS) berorientasikan eksport akan dipilih untuk menyertai program selama sebulan.

Jelasnya, sejurus tamat tempoh sebulan itu, 10 usahawan akan dipilih ke pusingan akhir untuk membuat pelan eksport perniagaan masing-masing dan berpeluang membentangkannya di hadapan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

“Semua usahawan yang bersedia untuk menerokai pasaran global dipelawa untuk menyertai program ini. Antara kriteria ialah syarikat hendaklah beroperasi di Selangor, pengarah syarikat berumur 18 hingga 40 tahun dan tidak diisytiharkan muflis atau disenarai hitam.

“Antara manfaat diterima ialah kursus latihan eksport, rangkaian kerja bersama agensi kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank Malaysia),” katanya dihubungi SelangorKini.

Syarikat yang berminat boleh melayari laman web
www.entrepreneurshipselangor.com.my/sayaspire dan permohonan ditutup pada 12 Februari ini.

Program pembangunan usahawan itu merupakan kerjasama di antara EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail dan bertujuan membantu belia yang berpotensi mengembangkan produk dan perkhidmatan ke pasaran global melalui kursus bimbingan dan latihan strategi eksport.

Program yang dianjurkan sejak 2018 menerusi agensi SAY diasaskan Raja Muda Selangor merangkumi latihan kewangan, strategi pemasaran serta perancangan strategik untuk menembusi pasaran luar negara.

Pada edisi ketiga tahun lalu, tiga syarikat dipilih sebagai pemenang iaitu Airaz Technologies Sdn Bhd (produk pakaian sukan muslim), Avantcom International Sdn Bhd (produk penjagaan kulit bayi) dan Inonity Sdn Bhd (perkhidmatan laman web e-dagang-StoreUp).


Pengarang :