EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail (berdiri, empat kanan) menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara Rangkaian DPU Sdn Bhd dengan Persatuan Penjaja dan Perniagaan Kecil Melayu Selangor di Hotel De Palma, Shah Alam pada 9 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Permudah penjaja beli alatan niaga, DEPENKSEL sedia pusat sehenti tawar harga murah

SHAH ALAM, 9 FEB : Dewan Perniagaan dan Keusahawanan Selangor (DEPENKSEL) menyediakan pusat sehenti bagi golongan peniaga dan penjaja mendapatkan alatan perniagaan dengan lebih mudah dan terjamin.

Presidennya Datuk Anowar Che Omar berkata perkara itu dimeterai menerusi kerjasama antara pihaknya dan JW Equipment Sdn Bhd bergabung menjadi Rangkaian DPU Sdn Bhd bagi mengendali program berkenaan.

Presiden Dewan Perniagaan dan Keusahawanan Selangor (DEPENKSEL) Datuk Anowar Che Omar. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Menurutnya, melalui usahasama itu DEPENKSEL akan mempromosi barang kelengkapan keperluan peniaga dari kilang JW Equipment kepada golongan peniaga dan penjaja di negeri ini.

“DEPENKSEL berperanan sebagai pusat sehenti dalam menyediakan semua kelengkapan yang diperlukan oleh peniaga dan penjaja termasuk peralatan seperti khemah perniagaan dan alatan lain dengan harga yang lebih berpatutan serta jaminan kualiti terbaik.

“Justeru, apabila peniaga dan penjaja memerlukan apa sahaja alatan perniagaan mereka tidak perlu pening atau tercari-cari sebaliknya boleh mendapatkannya melalui DEPENKSEL,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Rangkaian DPU Sdn Bhd dengan Persatuan Penjaja dan Perniagaan Kecil Melayu Selangor di Hotel De Palma, di sini hari ini.

Perjanjian usaha sama itu ditandatangani dan di saksikan oleh EXCO Pembanguan Usahawan Rodziah Ismail.

Bagaimanapun, Anowar mengalu-alukan peniaga dan penjaja di Selangor untuk berdaftar sebagai ahli di bawah dewan perniagaan itu dengan yuran serendah RM100 sahaja bagi memudahkan urusan jual beli alatan perniagaan.

“Setakat ini, kita ada 2,400 ahli di bawah dewan perniagaan ini, kami akan bergabung dengan persatuan lain dan dijangka jumlah ahli bakal mencapai lebih 5,000 orang nanti.

“Melalui kerjasama ini, ruang lingkup dan jaringan pemasaran DEPENKSEL menjadi lebih luas dan dapat beri manfaat kepada lebih ramai peniaga dan penjaja di Selangor khasnya,” katanya lagi.


Pengarang :