Oleh Azian Aziz
AMPANG JAYA, 4 FEB: Sekolah Kebangsaan (SK) Ampang muncul juara keseluruhan dan juara kategori sekolah rendah pertandingan pengumpulan minyak masak terpakai sempena Hari Alam Sekitar.
Sekolah tersebut mengalahkan 37 penyertaan lain dengan mengumpul 1,254.75 kilogram sisa minyak terpakai sejak pertandingan anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bermula 1 April hingga 31 Disember lalu.

Menurut guru Sains dan Reka Bentuk dan Teknologi SK Ampang Teo Hun Boon, kemenangan itu hasil kerjasama erat antara pihak sekolah, guru, murid dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
“Kita bangga dipilih sebagai juara di antara juara selain dapat mendidik murid-murid menjaga alam sekitar dengan tidak membuang sisa minyak masak.
“Wang kemenangan iaitu RM1,000 untuk juara kategori dan RM1,000 untuk juara keseluruhan akan dicampur dengan wang hasil jualan sisa minyak masak kepada MPAJ tahun lepas sebanyak RM1,500 untuk mengindahkan bilik Persatuan Alam Sekitar sekolah,’’ katanya.
Beliau ditemui selepas majlis perasmian dan penyampaian hadiah sempena Hari Alam Sekitar MPAJ 2022 di Auditorium Menara MPAJ malam tadi.
Hun Boon dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Keramat Noraini Ibrahim turut diumumkan sebagai Ikon Alam Sekitar MPAJ 2022 dalam majlis itu.

Sementara itu, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Melawati pula muncul juara keseluruhan dan juara kategori sekolah rendah bagi pengumpulan sisa e-waste.
Sekolah tersebut berjaya mengumpul 2,560.10 kilogram sisa e-waste dan mengalahkan 34 penyertaan lain.
Wakil sekolah yang juga guru Bahasa Melayu S Yaesodan berkata kejayaan tersebut hasil semangat saling menyokong melibatkan semua pihak.
“Barang yang banyak dikumpul oleh murid-murid ialah alat kawalan jauh televisyen, hard disk komputer, cakera padat dan seterika.
“Ada juga yang bagi peti sejuk, mesin basuh serta televisyen yang telah rosak dan saya sendiri akan ambil di rumah murid terlibat menggunakan kenderaan sendiri atau yang dipinjamkan oleh ahli PIBG yang mempunyai kenderaan lebih besar,’’ katanya.
Tambahnya, wang kemenangan dan wang hasil jualan sisa e-waste kepada MPAJ yang kesemuanya berjumlah lebih RM3,000 digunakan untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan membeli peralatan sekolah.