Gambar hiasan. ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pertimbang bantuan yuran RM800 untuk belia ikuti TVET

OLEH FUAD HADINATA YAACOB

SHAH ALAM, 28 FEB: Kerajaan mempertimbang untuk memberi bantuan yuran RM800 bagi menggalakkan lebih ramai belia mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kos yuran mungkin antara halangan
golongan itu untuk menyertai program kemahiran terutama dalam kalangan Orang Asli.

“Mungkin yuran RM800 ini menjadi kekangan kepada belia, kita pertimbangkan bantu mereka khususnya Orang Asli supaya lebih ramai terlibat TVET,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Bentong Young Syefura Othman berhubung langkah kerajaan mempromosi TVET seterusnya meningkatkan bilangan belia Orang Asli dan luar bandar.

Fadillah berkata kerajaan turut menyasar untuk memeterai 50 memorandum perjanjian (MoA) bersama industri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tahun ini seperti diumumkan dalam belanjawan lalu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan seramai 360,000 belia berusia antara 15 hingga 24 tahun menyertai TVET setakat 2021.


Pengarang :