Antara gerai di Bazar Ramadan Bandar Kinrara yang mendaftar saluran e-dagang Platform Selangor (PLATS) pada 19 April 2021. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Peruntukan RM50 juta naik taraf 3,000 gerai dan kiosk penjaja

SHAH ALAM, 24 FEB: Kerajaan Persekutuan menyediakan RM50 juta bagi membina dan menaik taraf 3,000 gerai dan kiosk sebagai kemudahan penjaja kecil di lokasi tumpuan seluruh negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, Perdana Menteri berkata sejumlah RM176 juta disediakaan bagi menaik taraf premis dan kemudahan perniagaan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan UDA.

“Saya sering tegaskan apa guna kita punyai gedung-gedung besar, tetapi rakyat yang hidupnya berniaga kecil-kecilan tidak diambil peduli. Ekonomi rakyat perlu dimartabat, keperluan mereka hendaklah dipenuhi.

“Negara sudah cukup berselirat dan terkenal dengan projek mega dan mercu tanda, tetapi saya juga mahukan negara terkenal dengan kemudahan penjaja, gerai dan warung yang bersih dan indah,” katanya membentang Belanjawan 2023 di Parlimen hari ini.

Anwar memaklumkan agensi kerajaan turut menyediakan pinjaman dan jaminan pembiayaan sehingga RM40 bilion untuk peniaga mikro kecil dan sederhana (PMKS).

“Bawah agensi seperti Bank Negara Malaysia, BSN dan TEKUN dengan dana yang tersedia berjumlah RM1.7 bilion.

“Ia meliputi RM300 juta untuk menyokong perniagaan mikro usahawan wanita dan belia. BSN menyediakan lebih RM1 bilion kepada peniaga kecil dan penjaja selain TEKUN menyediakan RM330 juta membantu belia daripada keluarga susah meraih pendapatan menerusi perniagaan,” katanya.


Pengarang :