Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program jelajah Jualan Ehsan Rakyat di Pangsapuri Meru Ehsan, Meru, Klang pada 1 Febuari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pesara sanggup pandu jauh ke program jualan murah, akui barangan berkualiti lagi berbaloi

KLANG, 2 FEB: Seorang pesara sanggup memandu kereta sejauh 12 kilometer dari kediamannya di Sungai Kapar Indah, Kapar ke Jelajah Ehsan Rakyat di Pangsapuri Meru Ehsan, Meru semalam.

Mohd Suhaimi Mohd Yusoff, 62, mengakui berbaloi berbelanja di program jualan murah berkenaan kerana dapat berjimat bagi mendapatkan barangan yang berkualiti walaupun terpaksa memandu hampir 15 minit.

“Saya sangat bersyukur ada program ini kerana harganya sangat murah dan sebelum ini saya pernah ke Sungai Udang dan Kampung Delek yang kebetulan berhampiran dengan rumah ibu.

“Selain itu, ada juga lorong khas untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) untuk membeli barangan. Saya harap jumlah barangan dapat ditambah lagi kerana cepat habis,” katanya kepada Selangorkini.

Pandangan sama turut dikongsi Tuan Nor Asiah Tuan Othman, 51, selain memuji inisiatif Kerajaan Negeri meringankan kos sara hidup rakyat dengan menawarkan barangan berkualiti dan segar pada harga murah.

“Selalunya, saya mengetahui program jualan murah daripada jiran menerusi WhatsApp. Saya akan hebahkan kepada kawan-kawan lain dan kami akan datang bersama.

“Biasanya saya beli ayam kerana anak-anak suka makan ayam, harga juga sangat murah hanya RM10 seekor,” katanya.

Sementara itu, suri rumah Maslinda Mokhtar, 41, berkata tidak pernah melepaskan peluang membeli barangan dapur setiap kali jualan berkenaan diadakan sekitar kawasan rumahnya.

“Saya tidak pernah gagal datang ke program jualan murah untuk beli barang dapur. Jika tidak ada hal saya pasti datang walau terpaksa beratur serta menunggu giliran,” katanya yang sudah mengunjungi enam Jelajah Ehsan Rakyat sekitar Meru.

Jualan dilokasi berkenaan mendapat sambutan amat memberangsangkan namun berjalan lancar dengan bantuan komuniti Pangsapuri Meru Ehsan.

Pengerusinya Norazmi Tandak berkata seramai enam orang membantu menjaga lalu lintas, mengawal barisan, membungkus dan mengangkat barangan pembeli.

“Segala aspek ini dititikberatkan bagi memastikan program berjalan lancar dan semua penduduk berpuas hati serta memudahkan urusan semua pihak terlibat,” katanya.

Jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor diteruskan sejak 16 Januari hingga Mac ini menawarkan produk seperti ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan).

Turut dijual daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).

Jualan itu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di 693 lokasi sekitar 56 DUN.


Pengarang :