EXCO Pembangunan Wanita Dr Siti Mariah Mahmud (tengah) bergambar bersama peserta pada majlis penutup Program Gadis Inspirasi Negeri Selangor di Grand Dorsett Subang, Subang Jaya pada 4 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Peserta Gadis Inspirasi Selangor diharap jadi penyampai program negeri

SUBANG JAYA, 5 FEB: Peserta Gadis Inspirasi Negeri Selangor (Gadis) khususnya pemenang diharap dapat menyebar luas program wanita anjuran Kerajaan Negeri.

EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga berkata Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai inisiatif kepada semua golongan tetapi hanya segelintir yang tahu dan mendapat manfaat.

“Memang banyak bantuan untuk golongan B40 tetapi ada juga kita buat untuk M40 dan T20 tetapi ini semua orang tidak nampak. Jadi, harapan kita mereka akan jadi ‘lidah’ kepada program-program wanita.

“Sesetengah maklumat tidak sampai kerana masyarakat tiada ketabahan untuk membaca, jadi menerusi peserta-peserta ini masyarakat tertarik dengan penyampaian menerusi media sosial seperti Tik Tok,” kata Dr Mariah Mahmud.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan berkenaan di Hotel Grand Dorsett Subang di sini semalam.

Program anjuran Wanita Berdaya Selangor itu berakhir apabila model sambilan Norzawani Zakiah Khairul Zaki dinobat sebagai juara.

Norzawani Zakiah membawa pulang wang tunai RM5,000, sijil beserta trofi manakala tempat kedua dimenangi pengacara hiburan, Nur Idayu Azizi Aziz (RM3,000), pelajar jurusan undang-undang, University of London, Stella Leong Sin Yin di tempat ketiga (RM1,000).

Program berlangsung pada 27 hingga 29 Januari lalu bertujuan untuk mencungkil bakat dan potensi wanita muda, menyediakan saluran bagi mengetengahkan diri di khalayak umum selain meningkatkan pembangunan dan kemapanan diri serta daya saing.

Syarat penyertaan ialah wanita berusia 18 tahun hingga 35 tahun, lahir dan bermastautin di Selangor serta memiliki pengikut di pelbagai media sosial dengan jumlah minimum 5,000 orang.


Pengarang :