Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menjalankan ujian pensampelan di jambatan Sungai Pajam pada 2 Disember 2022 bagi mengatasi masalah pencemaran air di Sungai Semenyih. Foto Facebook LUAS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pindaan akta bawa hukuman berat bantu banteras pencemaran air

SHAH ALAM, 16 FEB: Kerajaan Selangor yakin pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) memperkukuhkan lagi usaha membanteras pencemaran dan tindakan lebih berkesan untuk mengawal sumber air mentah.

Ahli Parlimen Gombak berkata pindaan yang dibentang Jun dengan hukuman lebih berat akan memberi tekanan dan menimbulkan rasa takut semua pihak sekali gus memastikan sumber bekalan air terpelihara.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan amanat tahun baharu kepada penjawat awam di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 11 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Insya-Allah ia (pindaan) akan dapat kukuhkan usaha membanteras pencemaran dan tindakan lebih berkesan untuk kawal sumber air mentah.

“Ini adalah insiden-insiden yang acap kali berlaku dan mungkin kerap dilaporkan di Selangor tetapi juga berlaku di Pahang, Terengganu dan negeri lain,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media bersama Menteri Sumber Asli Nik Nazmi Nik Ahmad di lobi Parlimen hari ini.

Dato’ Menteri Besar Selangor berkata pindaan yang mengenakan denda RM10 juta dan hukuman penjara hingga 15 tahun menjadi tambahan kepada Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang diluluskan Dewan Negeri Selangor pada November 2020.

“Kalau ikutkan fakta pada 2022 kita hanya catat dua insiden pencemaran berbanding lapan, sembilan kes pada 2020 yang sebahagiannya berpunca dari kilang dan pusat pembersihan jentera berat.

“Jadi tindakan (pindaan enakmen) ini selain penguatkuasaan pesisir sungai beri kesan baik kepada Selangor. Untuk rekod sepanjang 2021 dan 2022 tidak ada insiden pencemaran di Sungai Selangor,” katanya.

Pindaan Enakmen LUAS dilulus setelah gangguan bekalan air kerap berlaku akibat pencemaran sungai yang menyebabkan loji rawatan air dihenti tugas.

Pindaan tersebut antaranya menambah peruntukan penjara mandatori, menambah jumlah denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta.

LUAS juga boleh mengarahkan pesalah kes pencemaran air membayar kos kerja pembersihan serta memberi ganjaran kepada pemberi maklumat jenayah cemar air.


Pengarang :