Orang ramai membawa pulang barangan keperluan asas yang dibeli sempena Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Kuang di Tasik Puteri pada 13 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKPS cadang perkenal bayaran tanpa tunai di jualan murah

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 20 FEB: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bercadang memperkenal bayaran tanpa tunai bagi memudahkan urusan jual beli pada program Jelajah Ehsan Rakyat (JER).

Ketua pegawai eksekutif kumpulannya berkata kajian sedang dijalankan bagi memastikan kekangan yang dihadapi pihaknya dapat diatasi sebelum pelaksanaannya.

“Memang ada kekangan sebab lokasi JER tidak statik dan berubah setiap hari.

“Sebab itu kita kena kaji betul-betul sebelum laksanakan,” kata Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi ketika dihubungi.

Beliau menjawab pertanyaan saranan agar PKPS menyediakan perkhidmatan bayaran dalam talian untuk memudahkan orang ramai berbelanja dan melancarkan urusan jual beli.

Menurut Mohamad Khairil sekiranya dilaksanakan, pihaknya mungkin menggunakan kaedah pembayaran secara hybrid.

“Maksudnya boleh buat bayaran dalam talian dan tunai di sesetengah tempat kerana perlu ambil kira kawasan yang tiada liputan atau liputan kurang baik,” ujarnya.

Program JER menawarkan barangan seperti ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

Turut dijual ialah ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Orang ramai boleh melayari pautan http://linktr.ee/myPKPS atau merujuk Facebook PKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :