Petugas Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membuat persiapan barangan jualan sempena Jelajah Ehsan Rakyat (JER) DUN Pelabuhan Klang di Pulau Indah pada 12 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINII
AGENDANASIONAL

PKPS diminta tambah jumlah telur di jualan murah ramai pembeli

Oleh AZIAN AZIZ

SELAYANG, 20 FEB: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diminta menambah jumlah telur kepada 500 papan dalam program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di kawasan yang mempunyai ramai pembeli.

Pegawai Operasi Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia berkata telur yang dijual sekarang hanya 300 papan sedangkan pembeli mencecah 500 orang di kebanyakan kawasan.

Pegawai Operasi Pusat Khidmat Rakyat DUN Gombak Setia Din Yahaya

“Ada beberapa pembeli program jualan murah di sini mengadu tak dapat beli telur.

“Jadi saya mohon pihak PKPS tambah jumlah telur kepada 500 papan terutama menjelang Ramadan kerana permintaan memang tinggi,” kata Din Yahaya pada program JER peringkat DUN terbabit di Pangsapuri Sri Harmonis Gombak Setia hari ini.

Sejak Januari lalu, katanya, lebih 2,000 keluarga mendapat manfaat daripada empat program JER di DUN berkenaan.

“Kita ada dua lagi program JER yang diatur untuk Mac ini dan diharap dapat membantu meringankan beban terutama penduduk berpendapatan rendah dan sederhana,” ujarnya.

Program JER menawarkan barangan seperti ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

Turut dijual ialah ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Orang ramai boleh melayari pautan http://linktr.ee/myPKPS atau Facebook PKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :