Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Forum Antarabangsa: Pendekatan MADANI Mendepani Cabaran Islamofobia di Dewan Damar Sari, Kompleks F Putrajaya pada 27 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM adakan lawatan rasmi ke Filipina, bincang kerjasama pertanian, industri halal

PUTRAJAYA, 28 FEB: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Republik Filipina pada 1 dan 2 Mac ini, lawatan rasmi sulungnya ke republik itu sejak menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, Anwar akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Ferdinand R. Marcos Jr  dan kedua-dua pemimpin itu dijangka membincangkan pelbagai perkara berkaitan kerjasama dua hala seperti kerjasama keselamatan, pertanian dan industri halal dan ekonomi digital.

Kedua-dua pemimpin juga akan membincangkan isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

“Lawatan ini mencerminkan hubungan akrab antara Malaysia dan Filipina selaku jiran rapat serta negara anggota ASEAN.

“Ia juga akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk memperkasa jaringan kerjasama dua hala bertunjangkan kepentingan bersama, peningkatan kerjasama ekonomi dan politik serta jalinan antara rakyat,” menurut kenyataan itu.

Anwar juga dijadual menyampaikan syarahan umum bertajuk “30 Tahun Selepas Gelombang Kebangkitan Asia: Pengajaran Strategik Buat ASEAN” di Universiti Filipina serta mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia di Filipina.

Beliau diiringi isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Dalam Negeri Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, serta para pegawai kementerian dan agensi yang berkaitan

Pada 2022, Republik Filipina merupakan rakan dagangan ke-15 terbesar Malaysia dan ke-5 terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan bernilai RM41.45 bilion (USD9.42 bilion) atau peningkatan sebanyak 20.1 peratus berbanding jumlah dagangan pada 2021.

— BERNAMA

 


Pengarang :