Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Sesi Soal Jawab Perdana Menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 14 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM: Dana bantuan Malaysia untuk mangsa gempa RM20 juta, pertimbang ke Turkiye malam ini

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Bantuan dana kemanusiaan Malaysia bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria kini berjumlah RM20 juta, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sumbangan itu adalah daripada beberapa syarikat tempatan dan pelbagai pihak termasuk sebanyak US$1 juta daripada kerajaan Malaysia, manakala US$1 juta lagi adalah sumbangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Bagi bantuan menyelamat kita telah hantar dua pasukan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), dan satu lagi kumpulan akan berlepas ke sana malam ini termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” kata beliau pada Waktu Pertanyaan Menteri semasa persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Anwar menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) yang meminta Perdana Menteri menyatakan bentuk bantuan yang telah diberikan kerajaan kepada Turkiye dan barat laut Syria susulan bencana gempa bumi yang telah mengorbankan ramai nyawa dan mencederakan ribuan rakyat kedua-dua negara berkenaan.

Anwar berkata kos penghantaran SMART banyak dikurangkan kerana kos penerbangan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat penerbangan Turkiye menjadikan hanya sekitar RM4 juta dibelanjakan untuk tujuan berkenaan.

Pada 6 Februari lepas, gempa bumi bermagnitud 7.8 pada skala Richter telah melanda kawasan selatan Turkiye serta Syria dan sehingga semalam dilaporkan bilangan kematian mencecah 31,643 orang manakala 106,428 lagi cedera.

Di Syria pula, dilaporkan seramai 5,329 orang maut dan 14,500 orang cedera.

Sementara itu, Anwar berkata beliau sendiri sedang mempertimbang untuk ke Turkiye malam ini bagi memberikan sokongan moral kepada pemimpin negara itu.

Menjawab soalan mengenai pendirian Malaysia melibatkan penghantaran pasukan bantuan ke Syria, Anwar berkata setakat ini bantuan yang akan dihantar ke negara itu adalah dana dan peralatan perubatan termasuk membawa satu kelengkapan hospital daripada ATM untuk dipasang di sana.

“Dana (RM20 juta) itu kita putuskan untuk bantu Syria dan kirim alat ubatan walaupun ketika itu Amerika Syarikat belum memberikan pelepasan,” kata beliau.

– BERNAMA


Pengarang :