Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Februari di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri, Putrajaya pada 7 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM: Terap elemen amanah, kepercayaan dalam kerja berpasukan

PUTRAJAYA, 7 FEB: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Jemaah Menteri dan warga perkhidmatan awam bekerja sebagai satu pasukan yang menerapkan elemen amanah dan kepercayaan dalam budaya kerja.

Pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Februari 2023 di sini hari ini, Anwar berkata elemen berkenaan perlu diterapkan dalam usaha membebaskan segala ketelanjuran yang pernah berlaku dan mungkin berlaku.

Anwar mengakui terdapat kesungguhan dalam kerja berpasukan yang ditunjukkan Jemaah Menteri dan penjawat awam sejak beberapa bulan ini seperti dalam perihal pengurusan pekerja asing serta banjir dan penghantaran segera Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Turkiye.

“Ada keinginan baik daripada pimpinan atau penjawat awam untuk mengorak langkah dengan pantas dan bertanggungjawab,” katanya pada perhimpunan yang kali ini diadakan di tempat tertutup iaitu Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri berbanding kebiasaan di Dataran Perdana.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Anwar juga yakin barisan Jemaah Menteri di bawah Kerajaan Perpaduan mampu membawa perubahan dan bekerja sebagai satu pasukan untuk mengangkat martabat negara dan Malaysia Madani.

“Walaupun latar belakang pelbagai dan sejarah pertelingkahan, pembentukan idea… Alhamdulillah, tidak boleh dinafikan ialah kesatuan pemikiran dan kesatuan tekad itu wujud. Ini tidak boleh dinafikan, ini kenyataannya yang kita bekerja sebagai pasukan,” katanya.

Beliau turut menggesa komitmen dan semangat menyeluruh warga perkhidmatan awam untuk melaksanakan perubahan untuk mengangkat negara ke arah lebih baik.

“Saya tidak nafikan ada orang tegur tak patut saya sebut perkara lama tetapi imej negara, ekonomi negara, keterlanjuran berlaku itu tidak boleh dinafikan dan harus ada kekuatan dan tekad baharu daripada semua kalangan,” katanya.

Konsep Malaysia Madani diperkenalkan Anwar pada 19 Januari lepas, diacu berteraskan enam rukun iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.

– BERNAMA


Pengarang :