Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media selepas majlis dialog belanjawan 2023 ‘Membangun Malaysia Madani’ di Kementerian Kewangan pada 17 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM: Bersama bina persefahaman, kukuh perpaduan demi pertiwi tercinta

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat menyambut perayaan Thaipusam kepada seluruh penganut dan masyarakat beragama Hindu di negara ini.

Anwar berkata perayaan serta budaya yang pelbagai di Malaysia adalah hujah ampuh untuk masyarakat Malaysia saling kenal dan membina persefahaman tatanan negara bangsa yang majmuk.

“Mari bersama kita mengukuh perpaduan dan kerukunan demi pertiwi tercinta,” katanya menerusi catatan di Facebooknya hari ini.

Masyarakat Hindu menyambut perayaan Thaipusam pada hari ini dengan membanjiri kuil-kuil utama di ibu negara dan beberapa bandar raya di seluruh negara.

Thaipusam ialah perayaan yang disambut pada bulan ‘Thai’, iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil, bagi memperingati peristiwa Dewi Parvati memberikan lembing suci kepada anak lelakinya Dewa Murugan bagi menghapuskan kuasa jahat, Soorapadman dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia.

-BERNAMA


Pengarang :