Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Polis nafi dakwaan tidak boleh buat laporan, pondok polis sudah ditutup

KUALA LUMPUR, 17 FEB: Polis menafikan dakwaan seorang lelaki terdapat mangsa kemalangan di Bukit Damansara tidak dibenarkan membuat laporan polis di sebuah balai di situ.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata pihaknya mengesan satu ciapan dimuat naik pada 9.58 malam tadi menggunakan akaun Twitter dikenali @ManiamMKM.

Pengguna Twitter itu mendakwa terdapat kemalangan berlaku di kawasan Bukit Damansara dan mangsa tidak dibenarkan membuat laporan di ‘Balai Bukit Damansara’ serta diminta ke Balai Polis Taman Tun Dr Ismail atau Ibu Pejabat Polis Daerah.

Amihizam berkata hasil siasatan mendapati ‘Balai Bukit Damansara’ yang dimaksudkan adalah Pondok Polis Komuniti di Bukit Damansara yang ditutup sejak 2010 dan tidak beroperasi lagi.

“Pondok berkenaan telah diambil alih Syarikat Kawalan Keselamatan Sri Lara pada 2011. Ciapan itu satu fitnah dan polis akan membuat laporan berkaitan kes itu.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Justeru, Amihizam menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan penyebaran maklumat di laman sosial tanpa sumber yang sahih dan tepat daripada polis.

– BERNAMA


Pengarang :