SHAH ALAM, 4 FEB: Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan menyambut baik inisiatif yang menjadikan kawasan itu kampung pertama tanpa tunai pertama di Malaysia.
Wakil rakyatnya berkata ia terbukti apabila semua premis termasuk warung pasar pagi sudah memiliki kod imbas QR untuk pelanggan membayar secara dalam talian.
“Pelaksanaan tanpa tunai ini memudahkan pelancong terutama warga asing untuk berurusan dengan peniaga di Sekinchan dan langkah ini juga menjamin keselamatan mereka kerana tidak perlu membawa wang tunai yang banyak.
“Malah, baru-baru ini juga ada kempen kutipan dana untuk tokong dan menariknya ramai juga menderma hanya dengan mengimbas kod QR, ini satu inovasi yang menarik,” kata Ng Suee Lim kepada Selangorkini.
Speaker Dewan Negeri Selangor menambah peniaga mula menerima kaedah tersebut meskipun pada awalnya agak sukar dan mengambil sikap lebih berhati-hati untuk berubah ke arah itu.
“Namun, apabila pasukan kita turun padang beri penerangan berhubung kepentingan dan kesan positif urusan jual beli tanpa tunai akhirnya ia membuahkan hasil dan sudah mula terima,” katanya.
Sebelum ini, DUN Sekinchan dipilih sebagai kampung tanpa tunai pertama di Malaysia oleh Hong Leong Bank Bhd (HLB) dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) menerusi program Visit Sekinchan 2023.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB Domenic Fuda memaklumkan pemilihan DUN terbabit berikutan lokasinya yang menjadi tumpuan pelancong luar dan dalam negara.