Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (berdiri, dua kiri) dan Timbalan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Suzliana Abd Hamid menyantuni peserta Bengkel Bina Games di Pustaka Raja Uda, Shah Alam pada 21 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Program cungkil bakat anak muda cipta permainan tarik minat 75 pelajar

SHAH ALAM, 21 FEB: Bengkel membina permainan yang julung kali dianjurkan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berjaya menarik minat 75 pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negeri ini.

Menurut ketua tanggungjawab sosial korporat MBI, program dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) cawangan Shah Alam mendapat sambutan sangat baik daripada peserta berusia 10 hingga 15 tahun.

Ahmad Azri Zainal Nor berkata program selama tiga hari sempena cuti sekolah bermatlamat mencungkil keupayaan anak muda mencipta permainan sendiri melalui bimbingan sebuah syarikat aplikasi mudah alih tempatan, Raxbit.

“Program melibatkan tiga sesi dengan sesi pertama hari ini disertai 25 pelajar sekolah rendah manakala 25 pelajar sekolah menengah akan mengikuti modul sama esok dan selebihnya sekolah rendah pada Khamis.

“Alhamdulillah, penyertaan begitu memberangsangkan kerana dalam tempoh kurang seminggu pendaftaran dibuka, kita dapat melengkapkan bilangan peserta untuk ketiga-tiga sesi,” katanya.

Beliau yang ditemui selepas meninjau pelaksanaan bengkel di Perpustakaan Raja Tun Uda di sini mengakui rata-rata peserta tidak berdepan masalah mengikuti teknik membina permainan hasil bimbingan empat tenaga pengajar.

“Saya yakin mereka dapat bina permainan yang lengkap dan main sendiri pada akhir sesi ini nanti. Sekiranya permainan dicipta ada potensi boleh dijual dalam Google PlayStore serta AppStore.

“MBI sedia bantu mereka sampai ke tahap itu kerana industri pembangunan permainan boleh jana keuntungan sekiranya seseorang itu ada minat dan kreativiti,” katanya lagi.

Sementara itu, peserta Sofia Mohd Fuad, 10, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 14 mengakui teruja kerana pertama kali berpeluang menyertai bengkel berkenaan.

“Rasa seronok sebab ini pertama kali saya belajar buat permainan sendiri, selama ini saya hanya tahu main permainan di telefon pintar dan komputer riba.

“Modul yang diberikan mudah difahami. Kalau ada perkara kurang faham saya akan tanya tenaga pengajar supaya saya memperoleh sesuatu pads akhir sesi ini,” kata anak bongsu daripda tiga beradik.

Bagi Jhen Yean, 11, dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Subang, dia sudah lama mengimpikan untuk mencipta permainan sendiri, namun tiada platform berbuat demikian.

“Saya mahu manfaatkan sebaiknya bengkel ini supaya dapat menghasilkan permainan sendiri. Memang mencabar tetapi ia jadi mudah apabila tenaga pengajar memberi tunjuk ajar satu per satu,” katanya.


Pengarang :