Orang ramai mendapatkan barang keperluan asas pada harga murah menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Teratai di Taman Lembah Maju, Ampang Jaya pada 8 Februari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Program jualan murah bantu penduduk berjimat selepas Tahun Baharu Cina

Oleh AZIAN AZIZ

AMPANG, 9 FEB: Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) anjuran Kerajaan Negeri semalam membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan yang banyak berbelanja ketika menyambut Tahun Baharu Cina.

Ibu kepada dua anak dari Rumah Pangsapuri (RP) Lembah Maju di sini, Wong Huey Kung, 44, mengakui perkara itu kerana barangan dibeli sedikit sebanyak membantu menampung keperluan keluarganya sementara menunggu hujung bulan.

“Sebelum ini saya tidak pernah ke jualan murah tetapi selepas Tahun Baharu Cina wang sudah banyak dibelanjakan saya lega dapat beli barangan seperti ayam, telur, ikan dan beras dengan harga RM36 sahaja.

Wong Huey Kung. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Terima kasih Kerajaan Negeri adakan jualan sebegini yang memang membantu ketika kita memerlukan. Rakan saya yang lain juga dapat berbelanja dalam program ini,” kata pelayan katering sambilan itu ketika ditemui di Rumah Pangsapuri Lembah Maju yang merupakan lokasi jualan murah di DUN Teratai.

Sementara itu P Nadarajan, 60, dari kawasan perumahan sama berkata beliau gembira dapat membeli telur, ayam dan beras untuk dirinya dan keluarga anaknya.

“Ini pertama kali datang dan saya beli sepapan telur, dua ekor ayam dan dua kampit beras dengan harga RM50 sahaja. Kerana murah saya beratur lagi dan beli barangan sama untuk keluarga anak saya,” kata pemandu bas pelancongan itu.

Nurul Hayati Yusof, 69, juga dari RP Lembah Maju pula memberitahu beliau telah 10 kali datang ke program itu kerana menjimatkan perbelanjaan dirinya.

Nurul Hayati Yusof. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya gembira dapat beli barangan seperti ayam dan telur di kawasan rumah sahaja jika tidak saya akan berjalan kaki ke lokasi jualan murah lain yang berdekatan kerana tiada kenderaan.

“Semoga program ini diteruskan kerana dapat membantu golongan seperti saya,” katanya yang mendapat bantuan zakat bulanan RM300 selain bekerja mencari barangan terpakai untuk menambah kewangan.

Inisiatif jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan sejak 16 Januari hingga Mac ini.

Antara produk ditawarkan ialah ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).


Pengarang :