OLEH SHAMZ JOHAN
SELAYANG, 16 FEB: Selain menawarkan jualan murah barang keperluan asas, program Jualan Ehsan Rakyat (JER) juga mampu menjadi medan terbaik wakil rakyat bertemu penduduk setempat.
Pegawai Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer Rosli Kamaruddin berkata pihaknya sentiasa terbuka mendengar aduan dan pandangan rakyat berhubung pelbagai perkara di kawasan itu.
“Selain mahu jualan murah dianjurkan sekerap yang boleh kerana ia sangat bermanfaat pada keluarga berpendapatan rendah, kami juga mahu bertemu masyarakat bagi mendengar aduan dan keluhan,” katanya.
Beliau yang ditemui pada program jualan murah di Kampung Selayang Indah di sini hari ini turut berharap lokasi program boleh ditambah bulan depan untuk manfaat lebih ramai penduduk.
“Untuk Februari sahaja, sudah enam kali kita adakan di DUN Taman Templer. Kita dapati hampir 500 ke 600 pengunjung hadir pada setiap lokasi,” kata Rosli lagi.
Program jualan murah yang diperluas ke 1,200 lokasi mulai 15 Januari menawarkan pelbagai barangan asas antaranya ayam RM10 seekor, daging pejal (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).
Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.