Orang ramai membeli barang keperluan dalam program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Taman Sri Andalas, Klang pada 14 Februari 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Program jualan murah jimatkan belanja B40, ringan beban keluarga anak ramai

Oleh SHAMZ JOHAN

KLANG, 14 FEB: Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Taman Sri Andalas di sini hari ini memberi banyak manfaat kepada keluarga kurang berkemampuan ataupun B40.

Seorang pekerja pembersihan dengan pendapatan hanya RM600 sebulan teruja dengan program jualan murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu.

“Suami sakit buah pinggang. Saya pula pekerja pembersihan separuh masa, dengan gaji RM600 memang tak mampu beli keperluan di luar (pasar raya).

K Jaya Letchumi. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

“Saya percaya masih ramai lagi keluarga lebih susah daripada saya dan memerlukan inisiatif seperti ini,” kata K Jaya Letchumi, 50, yang mahu program JER diadakan lebih kerap.

Suri rumah Hajrah Kadir, 43, mahu lokasi program ditambah bagi memberi peluang lebih ramai penduduk mendapatkan barangan murah.

“Jualan murah seperti ini terutama ayam, beza harganya sehingga RM 10 seekor dapat meringankan beban kami. Kita mahu lokasi program ditambah agar lebih banyak penduduk dapat mengambil kesempatan.

Hajrah Kadir. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

“Kesihatan suami tidak berapa baik akibat penyakit asma, selain perlu menyediakan perbelanjaan sekolah anak-anak, kos perubatan dan ke hospital juga perlu ditanggung kami sekeluarga,” katanya yang turut mengakui isu harga barang mahal menjadi masalah utama.

Pesara polis, Khir Sulaiman, 65, memuji usaha Kerajaan Negeri menyantuni penduduk dengan program jualan murah ini.


Khir Sulaiman. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

“Dengan harga mahal dan kos hidup meningkat, jualan murah sangat membantu. Semua orang susah dan terbeban dengan masalah (harga barang) sekarang, jadi kita bersyukurlah dengan usaha dan langkah Kerajaan Negeri membantu rakyat,” katanya.

Lebih 500 penduduk berkunjung ke program tersebut yang menawarkan ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).


Pengarang :