GOMBAK, 25 FEB: Kerajaan Selangor mengalu-alukan projek membina jalan dan jambatan Sungai Sepang bagi mengatasi isu kesesakan yang menjejaskan lokasi tumpuan pelancong seperti dibentang Perdana Menteri dalam Belanjawan 2023, semalam.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yakin projek itu akan memberi manfaat kepada Selangor terutama melibatkan sektor pelancongan dan naik taraf jalan.

“Saya akan semak semula perinciannya (projek) tapi ini sangat dialu-alukan dan saya percaya jalan itu jalan utama orang keluar masuk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) Gombak di tapak bazar Ramadan, Taman Melawati hari ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan 2023 semalam menjelaskan projek dengan kos RM160 juta itu akan menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dan Sungai Pelek, Sepang.
Selain itu Amirudin berkata pelbagai insentif dibentangkan Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam Belanjawan 2023 semalam adalah isyarat Perdana Menteri mahu memastikan rakyat mendapat pembelaan secukupnya.

“Alhamdulillah saya rasa Perdana Menteri (yang juga) Menteri Kewangan cuba untuk memastikan asas di dalam negara kita iaitu rakyat mendapat pembelaan yang secukupnya.
“Pelbagai insiatif sama ada pelepasan cukai, mengeluarkan orang daripada kemuflisan dan juga bantuan yang diisytiharkan Perdana Menteri termasuk program kesihatan, pendidikan, e-panggilan dan penjagaan anak-anak,” katanya.