Keadaan kolam tadahan air Skim Jaminan Air Mentah Selangor (SJAM) di Jenderam Hilir, Sepang pada 16 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Projek skim jaminan air siap tahun ini, pencemaran tidak jejas bekalan

SHAH ALAM, 16 FEB: Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) yang dilaksanakan negeri bagi menangani masalah gangguan bekalan air dijangka siap suku ketiga tahun ini, maklum Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan projek penyelesaian pencemaran dari hulu ke hilir sungai melibatkan belanja lebih RM300 juta itu kini berada pada tahap 40 peratus.

“Apabila SJAM siap, jika berlaku pencemaran dan tidak dapat ditangani, masih tidak ganggu bekalan. Bila berlaku pencemaran, kita alirkan air keluar dari loji rawatan air (LRA).

“SJAM juga ada kolam takungan (seperti) Horas 3000 dan Horas 600. Kita akan sedut masuk air ke LRA yang boleh bertahan lima hari hingga dua minggu. Maknanya kalau air kering, kita dapat teruskan bekalan tanpa ganggu proses LRA,” katanya.

Bercakap pada sidang media di lobi Parlimen hari ini, Amirudin yang juga wakil rakyat Gombak berkata gangguan bekalan air berlaku jika sistem LRA mengalami henti tugas selama empat jam.

“Insiden terbaharu tempohnya empat jam 15 minit dan proses pemulihan terpaksa mengambil masa hampir atau lebih 24 jam,” katanya lagi.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM332 juta untuk menjayakan SJAM termasuk RM100 juta yang dikhaskan bagi menjamin operasi LRA jika berlaku pencemaran.

Skim berkenaan turut merangkumi beberapa langkah penyelesaian lain antaranya pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan pemantauan skuad Pantas LUAS.

 


Pengarang :