Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin hadir pada Majlis Pelepasan Konvoi Misi Bantuan Kecemasan Gempa Gaziantep Turkiye & Syria Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 7 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Rakyat Malaysia terlibat gempa bumi di Turkiye akan dibawa pulang

SEPANG, 8 FEB: Kerajaan sedang berusaha membawa keluar 13 rakyat Malaysia yang masih terperangkap di beberapa wilayah yang terlibat dalam kejadian gempa bumi di selatan Turkiye, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.

Beliau berkata ketika ini, Wisma Putra mengadakan perbincangan dengan Kedutaan Besar Malaysia di Ankara dan Konsulat Jeneral di Istanbul mengenai kaedah bagi tujuan itu sebelum disusuli proses membawa mereka pulang ke tanah air.

Katanya rakyat Malaysia terbabit terdiri daripada 11 lelaki dan dua wanita yang bekerja dalam pelbagai bidang di Turkiye.

“Walaupun perhubungan agak sukar kerana perkhidmatan telekomunikasi terputus tetapi Alhamdulillah, mereka sihat dan selamat.

“Saya harap keluarga mereka di tanah air tidak bimbang. Kita (Wisma Putra) akan beri perkembangan mengenai mereka dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan pelepasan Misi Bantuan Kecemasan Gempa Gaziantep Turkiye dan Syria Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur malam tadi.

Mohamad berkata MAPIM merupakan badan bukan kerajaan (NGO) pertama menghantar bantuan kemanusiaan ke Turkiye yang disertai 11 anggota delegasi termasuk empat petugas media bagi membantu misi operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi yang melanda negara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby pula berkata misi kemanusiaan itu dijangka tiba di Istanbul esok dan akan berada di Turkiye serta Syria selama 17 hari.

Beliau berkata pihaknya memperuntuk dana sebanyak RM1 juta untuk membeli barangan keperluan yang akan disumbang kepada mangsa di wilayah terjejas.

“Kita gunakan sumbangan sedia ada yang disumbangkan orang ramai kepada MAPIM kerana kita baharu lancarkan Tabung Bantuan Kecemasan semalam (Isnin),” katanya.

Pada awal pagi Isnin, gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Ritcher melanda daerah Pazarcik di wilayah Kahrananmaras dan menggegarkan beberapa wilayah lain termasuk Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakir, Adana, Adiyaman, Malatya, Osmaniye, Hatay serta Kilis.

Satu lagi gempa bumi kuat bermagnitud 7.6 yang berpusat di daerah Elbistan di Kahmaranmaras berlaku pada 1.24 tengah hari (6.24 petang waktu Malaysia).

Menurut laporan media terkini, tragedi itu setakat ini telah meragut lebih 5,000 nyawa di Turkiye dan Syria.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan angka korban tragedi itu boleh mencecah 20,000 nyawa.

Misi SAR sedang dijalankan dan kerajaan Turkiye telah melaksanakan rancangan kecemasan gred empat serta membuka laluan bagi bantuan antarabangsa.

– BERNAMA


Pengarang :