Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhamad berucap merasmikan majlis malam gala pengiktirafan dan penghargaan Angel Group di Hotel Marriot, Putrajaya pada 27 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Rebut peluang tingkat pendapatan, jamin kestabilan ekonomi diri, keluarga

PUTRAJAYA, 28 FEB: Peluang menjana pendapatan harus direbut bagi menjamin kestabilan ekonomi diri dan keluarga, kata Datin Seri Masdiana Muhamad.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) itu berkata kemajuan teknologi serta dasar terbuka telah menggiatkan lagi perkembangan ekonomi dunia tanpa sempadan.

“Generasi akan datang mungkin akan memperolehi pendapatan yang dapat menawarkan peluang kehidupan yang lebih baik dan berkualiti kepada mereka.

“Pada masa hadapan, setiap orang pasti akan bersaing dengan lebih giat dalam meningkatkan prestasi kehidupan masing- masing,” katanya ketika berucap merasmikan majlis malam gala pengiktirafan dan penghargaan Angel Group, malam tadi

Masdiana berkata tema Angel Group iaitu kreativiti pemulihan kewangan dalam penyelesaian pemulihan ekonomi pada zaman penuh cabaran ini bertepatan dengan usaha kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik melanda negara dan seluruh dunia.

“Saya berharap Angel Group dapat menumpukan usaha mereka dalam memaju dan menambah baik program keusahawanan dan program amal yang dilakukan sebelum ini untuk membawa manfaat kepada rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan negara.

“Antara program amal yang mereka lakukan termasuk membeli kilang roti untuk bekalan makanan kepada rakyat Syria, membantu mangsa banjir di dalam negara dan Pakistan, pemurnian Al-Quran yang rosak dan bantuan anak-anak yatim,” katanya.

Sementara itu, pengasas Angel Group Creative Financial Solution berkata Angel Group adalah agensi terbesar di bawah Quantum Metal Sdn Bhd yang ditubuhkan bagi membantu orang ramai mencipta dan menggandakan aset selain penyelesaian pemulihan ekonomi bersandarkan emas melalui platform digital.

“Pada majlis malam ini lebih 200 individu diberi pengiktirafan dan penghargaan selain turut dilancarkan laman sesawang Angel Group serta aplikasi KiloGo yang bakal menjadi platform pemasaran terbaru agensi ini,” kata Dr Rukhaidah Abd Karim.


Pengarang :