Orang ramai membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena Jelajah Ehsan Rakyat di Pangsapuri Meru Ehsan, Klang pada 1 Febuari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Ringan beban rakyat, PKPS dicadang teruskan jualan murah sepanjang Ramadan

KLANG, 1 FEB: Ahli Dewan Negeri Meru mencadangkan Jelajah Ehsan Rakyat (JER) yang menawarkan jualan murah barangan asas diteruskan sepanjang bulan Ramadan ini.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata program jualan murah anjuran Kerajaan Negeri itu wajar diadakan terutama di kawasan didiami majoriti masyarakat Islam sekali gus menjimatkan perbelanjaan mereka.

“Saya berharap sempena Ramadan, Kerajaan Negeri dapat memperbanyakkan program jualan murah kerana kebiasannya belanja bulan Ramadan akan lebih berbanding bulan biasa, lebih-lebih lagi di Meru yang majoriti Islam.

“Jika dapat diteruskan dan dibesarkan program ini lebih ramai penduduk dapat manfaat. Kita juga berharap jumlah barangan di bulan puasa ditambah berbanding hari biasa,” katanya ditemui pada program JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru, hari ini.

Orang ramai beratur untuk membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena Jelajah Ehsan Rakyat di Pangsapuri Meru Ehsan, Klang pada 1 Febuari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Program jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan bermula 15 Januari hingga Mac dengan 11 lokasi setiap hari berbanding sembilan sebelum ini.

Jualan itu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di 693 lokasi sekitar 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Inisiatif Kerajaan Negeri menawarkan ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

 


Pengarang :