Bangunan Majlis Bandaraya Subang Jaya pada 20 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

RM2.98 juta bina medan selera SS19, siap Oktober tahun ini

SHAH ALAM, 1 FEB: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) membina sebuah medan selera di Jalan SS19/6 untuk kemudahan peniaga kecil yang dijangka siap sepenuhnya Oktober tahun ini.

Timbalan Datuk Bandar Mohd Zulkurnain Che Ali memaklumkan projek berkeluasan 0.74 hektar dengan kos RM2.98 juta itu dilengkapi 20 unit gerai dan kemudahan asas seperti surau dan tandas.

Beliau berkata medan selera yang mula dibina 8 Disember tahun lalu juga memiliki 106 petak parkir kereta dan motosikal selain empat tempat letak kenderaan khas untuk orang kurang upaya (OKU).

“MBSJ berbesar hati melaksanakan projek ini yang memanfaatkan seluruh komuniti bandar raya selaras Matlamat Pembangunan Lestari (SDG): Bandar dan Komuniti Lestari.

“Ia juga selaras Rancangan Selangor Pertama (RS-1) iaitu peningkatan kualiti kehidupan komuniti, sekali gus membina daya tahan kukuh dalam mendepani cabaran masa hadapan dengan persekitaran yang semakin kompleks,” katanya.

Berucap ketika Mesyuarat Penuh MBSJ di sini semalam, Mohd Zulkurnain percaya pembinaan medan selera itu mampu memanfaatkan seluruh komuniti bandar raya Subang Jaya terutama peniaga kecil.

Jelasnya, kadar sewa ditetapkan setakat ini ialah minimum RM400 sebulan dengan mengambil kira faktor lokasi dan kemudahan akses sekitar kawasan tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata MBSJ merangka sebanyak 39 projek utama untuk dilaksanakan pada tahun ini membabitkan kos perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM125.4 juta.


Pengarang :