SHAH ALAM, 23 FEB: Rancangan tebatan banjir Sungai Langat Fasa 1 diluluskan dengan keseluruhan kos projek bernilai RM41 juta, kata menteri sumber asli.
Menurut Nik Nazmi Nik Ahmad tender projek bakal dibuka suku pertama tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh 35 bulan.
“Kementerian turut memohon peruntukan khas untuk melaksanakan projek tebatan banjir Sungai Langat Fasa 2 sebagai langkah menyeluruh kejadian bah di Sungai Langat.
“Dalam masa sama Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor menjalankan 13 projek rancangan tebatan banjir di Lembangan Sungai Langat menggunakan peruntukan negeri,” katanya menggulung usul menjunjung kasih dan perbahasan Titah Diraja di Parlimen hari ini.
Sementara itu Ahli Parlimen Setiawangsa memaklumkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menjalankan kajian siasatan bencana geologi tanah runtuh di enam lokasi di Ampang sepanjang 2021 hingga tahun lalu.
Tindakan berpandukan tatacara operasi piawai (SOP) bencana tanah runtuh itu turut dijalankan di Batang Kali, Hulu Selangor selain Gunung Jerai dan Kampung Iboi di Kedah.