Pasukan mencari dan penyelamat (SAR) Malaysia meneruskan misi mencari mangsa gempa bumi Turkiye di Nurdagi dalam cuaca sejuk. Foto Facebook Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia
AGENDANASIONAL

SAR Turkiye: Air mata anggota bomba menitis jumpa mayat ibu, dua anak berpelukan

IPOH, 28 FEB: Pengalaman menjumpai mayat seorang ibu berpelukan dengan dua anaknya di bawah runtuhan bangunan merupakan antara detik menyayat hati seorang anggota bomba yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di selatan Turkiye.

Shahrul Nizam Murad, 47 berkata pasukan negara menjumpai mayat ketiga-tiga beranak itu pada hari keempat SAR.

“Ketika jumpa mayat itu, kami perlu mengorek serpihan runtuhan dan barulah nampak satu persatu. Saya sebagai bapa kepada lima anak, rasa sedih hingga meleleh air mata.

“Saat itu memang fikir anak tetapi saya sedang bertugas jadi terpaksa hilangkan fikiran itu dan tumpu kepada kerja. Jika tidak, memang tidak sanggup,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan dan Majlis Serah Terima Tugas Pengurusan Tertinggi JBPM negeri di Ibu Pejabat JBPM di sini hari ini.

Beliau juga berkata penerimaan masyarakat di Turkiye terhadap 142 anggota penyelamat dan dua ekor anjing pengesan (K9) adalah sangat baik.

“Apabila mereka dengar pasukan dari Malaysia, memang mereka bagi pujian dan kerjasama… mungkin daripada perkhabaran mengenai penemuan mangsa yang hidup seramai lima orang. Sehinggakan sampai kami ingin balik ke lapangan terbang mereka beri layanan baik,” katanya.

Shahrul Nizam, yang telah berkhidmat selama 27 tahun dan kini bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, berkata beliau adalah di bawah Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) yang diterbangkan ke Istanbul pada 6 Feb lepas dan pulang ke tanah air semalam.

Beliau berkata pasukan penyelamat Malaysia telah berjaya membawa keluar 57 mangsa.

Gempa bumi kuat yang melanda Turkiye pada 6 Feb lepas telah meragut lebih 44,000 nyawa di wilayah selatan negara itu.

– BERNAMA


Pengarang :