SHAH ALAM, 15 FEB: Pusat Kreatif Digital Selangor (SDCC) di i-City dijenamakan semula kepada Ruang Pejabat Sandbox Selangor (SSCS) dalam memberi kemudahan kepada usahawan memulakan perniagaan.
Dirasmikan EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim, ruang seluas 14,000 kaki persegi dibina khas untuk sesi rangkaian, bimbingan, perbincangan, merangsang kreativiti dan perkongsian sumber.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/02/PSX_20230214_152630-500x333.jpg)
“Pusat ini mula beroperasi pada 2015 dan menumpukan kepada aktiviti e-dagang walaupun pada awalnya berkaitan teknologi maklumat namun, kini kita kembangkannya dengan teknologi sejajar dengan perkembangan terkini.
“Sudah lapan tahun beroperasi dan kita berjaya naik taraf daripada segi kemudahan, isi kandungan latihan dan bilangan usahawan teknologi yang dilantik ,” katanya ditemui selepas merasmikan pusat usahawan berkenaan semalam.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/02/PSX_20230214_152017-500x333.jpg)
Terletak di ibu pejabat Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec), SSCS yang dilengkapi bilik seminar, bilik mesyuarat, perpustakaan, gimnasium dan kawasan rehat mampu menampung kira-kira 60 individu dalam satu masa.
Dilancar pada 2015, penubuhan pusat berkenaan mampu membawa perubahan besar kepada Selangor dalam mengorak langkah ke arah negeri pintar.