BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Sejarah pembuatan insulin rawat diabetes, pencipta terima Hadiah Nobel Perubatan

SHAH ALAM, 10 FEB: Penyakit diabetes pertama kali direkod sekitar 3,000 tahun lalu di Mesir. Pada masa itu sehinggalah awal kurun ke-20, tiada rawatan berkesan untuk diabetes. Malah, sepanjang tempoh ribuan tahun ini pun, manusia masih belum tahu punca-punca yang menyebabkan kencing manis. Kalau dapat diabetes, alamatnya akan mati tidak lama lagi.

Tanda-tandanya dapat dikesan seperti kerap kencing, minum air terlalu banyak, air kencing sedikit melekit dan sebagainya. Usaha menarik dalam kajian diabetes ini berlaku pada 1674. Doktor perubatan Inggeris yang terkenal Thomas Willis pernah merasa sendiri dengan lidahnya air kencing pesakit diabetes untuk menyukat kemanisannya.

Antara abad ke-19 ke abad ke-20, saintis mendapati diabetes berpunca daripada pankreas yang tidak dapat lagi merembeskan insulin yang berfungsi untuk mengawal gula dalam darah. Pada ketika itu, saintis tidak tahu pun pasal insulin. Mereka cuma tahu fungsi pankreas.

Sekitar 1920-an, saintis perubatan Frederick Banting dan pelajarnya Charles Best melakukan beberapa siri eksperimen untuk keluarkan pankreas daripada tubuh. Mereka melakukannya ke atas beberapa ekor anjing. Banyak yang mati sampai ke tahap mereka mendapatkan anjing liar daripada pasaran gelap.

Akhirnya mereka berjaya keluarkan pankreas anjing tanpa membunuh anjing tersebut. Insulin daripada pankreas anjing diekstrak kemudian disuntik ke saluran darah anjing tersebut. Mereka memerhati kandungan gula dalam darah anjing itu setiap 30 minit.

Mereka mendapati kandungan gula dalam darah anjing itu kembali normal walaupun ia tiada pankreas. Mereka terfikir, kalau rawatan ini berkesan ke atas anjing, tentunya ia berkesan ke atas manusia.

Akhirnya, suntikan insulin diuji ke atas manusia dan memang terbukti insulin ini dapat mengawal paras gula dalam darah. Pada hari ini, suntikan insulin digunakan oleh pesakit diabetes di seluruh dunia untuk mengawal paras gula dalam darah.

Frederick Banting

Terima Nobel

Frederick Banting menerima Hadiah Nobel Perubatan pada 1923 kerana penemuan insulin. Beliau berkongsi wang yang diterima daripada anugerah tersebut bersama anak muridnya, Best. Setakat hari ini, Banting merupakan penerima Hadiah Nobel Perubatan termuda sepanjang sejarah iaitu pada umur 32 tahun.

Susulan itu, wajah Banting menjadi muka hadapan majalah berprestij Time. Banyak akhbar melaporkan bahawa pesakit diabetes tidak perlu lagi menderita kerana rawatan telah ditemui untuk mengawal paras gula dalam darah.

Lembu ternakan telah menjadi sasaran untuk mendapatkan bekalan insulin. Pankreas mereka diambil dan insulin diekstrak untuk rawatan pesakit diabetes. Tetapi saintis tidak menjangka permintaan rawatan diabetes begitu tinggi.

Menyembelih lembu untuk dapatkan pankreasnya sangat perlahan dan menelan kos yang sangat tinggi. Malah, bekalan tidak cukup pun untuk tampung permintaan yang banyak. Jadi, saintis gunakan pankreas babi sebab babi senang membiak dan jumlahnya lebih tinggi.

Tetapi gunakan babi bukan kaedah yang mampan. Dalam jangka masa panjang, bekalan insulin berasaskan babi tidak akan dapat memenuhi permintaan. Sebanyak sekitar 8,000 paun kelenjar diperlukan hanya untuk menghasilkan 1 paun insulin. 8,000 paun dapat diperoleh dengan menyembelih 23,500 ekor haiwan.

1 paun insulin ini pula dapat mengisi 400,000 botol kecil insulin yang hanya cukup untuk merawat 100,000 pesakit diabetes dalam tempoh sebulan. Nampak macam banyak, tetapi pada 1958, sebanyak 1.6 juta pesakit memerlukan insulin di Amerika Syarikat sahaja. Angka ini meningkat sehingga 5 juta pesakit pada 1978. Jadi, 56 juta haiwan kena disembelih setiap tahun untuk mendapatkan insulin.

Sebuah syarikat farmaseutikal Eli Lilly melancarkan inisiatif dengan kerjasama beberapa syarikat penyelidikan dan universiti seperti Harvard untuk menyelesaikan masalah kekurangan bekalan pankreas. Saintis memilih jalan cari haiwan lain untuk dapatkan pankreas dengan lebih mudah dan banyak, antaranya tikus. Tetapi satu syarikat sahaja, iaitu Genentech memilih jalan yang sangat radikal pada zaman itu iaitu melalui penggubahan DNA.

Usaha mereka tidak diambil serius kerana umumnya ramai saintis takut masa hadapan teknologi ini. Takut dunia jadi distopia sebab mereka jangkakan akan wujudnya teknologi pereka bayi di masa hadapan yang boleh mengubah fizikal manusia. Genentech tidak mendapat banyak sokongan, tetapi mereka berjaya menghasilkan insulin secara sintetik.

Secara mudahnya, Genentech berjaya menghasilkan gen sintetik (gen buatan) yang memberikan arahan kepada bakteria e. coli supaya menghasilkan insulin manusia pada 1978. Dengan kata lain, mereka dapat hasilkan insulin sendiri dalam makmal melalui bakteria dan gen sintetik. Tidak perlu sampai menyembelih berpuluh ribu haiwan ternakan.

Insulin merupakan produk bioteknologi yang pertama yang mendapat pengesahan daripada FDA pada 1982. Pada hari ini, insulin yang digunakan oleh ramai pesakit diabetes di seluruh dunia merupakan insulin yang dihasilkan di makmal, bukan melalui sembelihan puluhan ribu haiwan.

 


Pengarang :