Hujan lebat di sekitar ibu kota Kuala Lumpur pada 18 Julai 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Selangor, KL, Putrajaya dijangka ribut petir dan hujan hingga 9 malam

SHAH ALAM, 2 FEB: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di seluruh Selangor sehingga 9 malam ini.

Agensi tersebut menerusi Twitter memaklumkan situasi sama dijangka berlaku di seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka.

Manakala di Perak melibatkan Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim; Pahang (Rompin), Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson dan Rembau) serta Johor (Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru).

Sarawak pula di Sibu (Selangau), Mukah (Mukah) dan Bintulu serta Sabah di Sandakan (Kinabatangan).

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my , media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :