Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Permbangunan Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail (tengah) menunjukkan buku Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangor Rumah Selangorku 3.0 turut bersama Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor, Datuk Dr Juhari Ahmad (kiri) dan Ketua Penolong Pengarah (Perancang Pembangunan) Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor, Mohd Hafiz Hassan (kanan) di Sidang Media Dasar Perumahan Rumah Selangorku 3.0 di Bangsar pada 16 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor tawar rumah satu bilik untuk orang bujang

OLEH DIANA ABD WAHAB

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Rumah satu bilik di kawasan bandar raya diperkenal untuk membantu orang bujang memiliki kediaman, kata EXCO perumahan.

Rodziah Ismail menjelaskan kediaman seluas 450 kaki persegi pada harga maksimum RM114,750 akan dibangunkan di Shah Alam, Subang Jaya dan Petaling Jaya.

“Ini antara usaha kerajaan bagi memenuhi permintaan majoriti pemohon berusia bawah 30 tahun yang rata-rata bujang dan baharu dalam dunia pekerjaan,” katanya.

Beliau menambah inisiatif menerusi Dasar Perumahan Rumah Selangorku 3.0 antara proses penambahbaikan bagi membantu rakyat membeli rumah mampu milik.

“Berdasarkan statistik, sebanyak 55 peratus pemohon berusia 29 tahun ke bawah, usia 30 hingga 49 tahun (44 peratus) dan satu peratus golongan berusia 50 tahun ke atas.

“Penyediaan rumah satu bilik dilaksanakan di negara maju seperti Singapura dan United Kingdom yang dibangunkan di kawasan berkepadatan tinggi,” katanya.

Rodziah berkata Rumah Selangorku 3.0 mensyaratkan sesebuah kediaman dibangunkan di kawasan pembangunan berorientasi transit (TOD), pembangunan bersebelahan transit (TAD) atau kawasan pusat perniagaan (CBD).

Beliau menambah Rumah Selangorku 3.0 turut menawarkan kediaman dua bilik (duo), tiga bilik (trio), empat bilik (quad) dan bertanah pada harga antara RM153,000 hingga RM250,000.


Pengarang :