Anggota bomba membantu memindahkan mangsa banjir di Parit Jayus dan Parit Basri Darat, Yong Peng ke pusat pemindahan sementara pada 1 Februari 2023. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor
AGENDANASIONAL

Semua PPS di Pulau Pinang ditutup, mangsa bah di Johor dan Sabah menurun

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Banjir di Pulau Pinang semakin pulih apabila kedua-dua pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah di negeri itu ditutup sepenuhnya sementara jumlah mangsa banjir di Johor dan Sabah menurun.

Di PULAU PINANG, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Phee Boon Poh berkata semua 59 mangsa banjir daripada 17 keluarga PPS di Dewan Komuniti Kubang Menerong, Seberang Perai Utara dan PPS di Sekolah Kebangsaan Bakap Indah, Seberang Perai Selatan dibenarkan pulang petang tadi selepas kediaman masing-masing selesai dibersihkan.

“Pihak kami turut membuat pemeriksaan di semua rumah mangsa banjir bagi memastikan kediaman mereka selamat didiami semula. Cuaca yang baik hari ini juga mempercepatkan lagi air surut serta kerja pembersihan dapat dijalankan,” katanya kepada Bernama.

Di JOHOR, jumlah mangsa di PPS terus menurun kepada 769 orang setakat 8 malam ini berbanding 819 orang yang direkodkan pada 4 petang tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan malam ini, memaklumkan seramai 743 mangsa daripada 210 keluarga yang terkesan akibat banjir termenung ditempatkan di lima PPS di daerah Batu Pahat.

Menurut kenyataan itu, 26 orang daripada sembilan keluarga masih ditempatkan di satu PPS di Segamat.

Sementara itu, JPBN memaklumkan enam daerah dijangka dilanda hujan malam ini kecuali Mersing, Segamat, Batu Pahat dan Tangkak yang dijangka cerah.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir malam ini yang masih berada di satu-satunya PPS di negeri itu di daerah Beaufort yang beroperasi menurun kepada 134 mangsa daripada 40 keluarga berbanding 224 mangsa daripada 63 keluarga petang tadi.

Sekretariat JPBN Sabah dalam kenyataan memaklumkan semua PPS di Telupid telah ditutup dan kesemua mangsa dibenarkan balik petang tadi. – BERNAMA


Pengarang :