Orang ramai menghadiri majlis perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 6 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sidang niaga 2023 lebih besar, hotel tampung jumlah pengunjung

SHAH ALAM, 10 FEB: Penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) tahun ini berskala lebih besar berikutan sambutannya yang menggalakkan tahun lalu.

Selain ruangan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), ekspo terbabit juga bakal dianjur di Hotel Traders dan Hotel Grand Hyatt bagi menampung kehadiran pengunjung, kata EXCO pelaburan.

“Selepas melihat kejayaan tahun lalu, kita yakin pertumbuhan lebih menggalakkan. Jadi kita rancang tambah lagi ruang melibatkan hotel berhampiran KLCC.

“Ruangan KLCC akan dikhaskan untuk pameran manakala hotel untuk program persidangan. Bagaimanapun perkara ini masih dalam rundingan,” kata Dato’ Teng Chang Khim ketika dihubungi.

SIBS tahun lalu yang berlangsung pada 6 hingga 9 Oktober mencatat nilai potensi rundingan berjumlah RM1.45 bilion, jauh lebih tinggi berbanding sasaran RM350 juta.

Ekspo disertai 623 pempamer itu menerima 44,342 pelawat dengan menampilkan enam acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) dan Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan).

Selain itu, Ekspo Taman Perindustrian Selangor, Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor dan Persidangan Perniagaan Asia.

 


Pengarang :